BERUNDING : TRUMP JADIKAN UMPAN
Jumaat 13 hari bulan , hari yang secara meluas dianggap malang dalam budaya Barat. Tahayul ini menggabungkan perkaitan negatif yang dirasakan kedua-dua nombor 13 dan hari Jumaat. Manakala dalam mitologi filem Holywood Jumaat 13 adalah tarikh dan masa hantu dan polong keluar menghiruk dunia.
Pada subuh Jumaat 13 Jun 2025 tarikh ini telah dipilih oleh Netanyahu untuk menyerang Iran. Israel menamakan serangan ini Operasi Singa Bangun. Iran menangkis dan bangun melawan dengan Operasi Janji Suci 3.
Ketika tulisan ini di garap perang sedang rancak berjalan. Serang menyerang berterusan. Mati, musnah , runtuh dan punah sedang berlaku di Tel Aviv dan di Tehran.
Netanyahu mengumumkan tujuan utama menyerang Iran ini ialah untuk menghancurkan fasilitas makmal program nuklear Iran. Justeru sasaran utama pada subuh itu ialah bandar Natanz – pusat fasilitas makmal nuklear Iran yang terletak 289 kilometer di Selatan Tehran.
Fasilitas nuklear ini terletak dalam perut bumi dan dilindungi oleh perisai konkrit dengan ketebalan lebih kurang 7.6 meter. Menurut pihak berkuasa Iran, alat emperan di pusat ini dibina di bawah tanah, pada kedalaman 40 hingga 50 meter dalam bumi.
Ini bukan kali pertama fasilitas nuklear Natanz ini diserang. Pada 21 April 2021 fasilitas ini telah meledak. Iran menuduh ini sabotaj yang telah di jalan oleh Israel dan Mossad. Sabotaj ini berlaku satu minggu sesudah Presiden Biden bersetuju untuk kembali berbincang dengan Iran. Biden mahu menghidupkan kembali Perjanjian Nuklear Dua Negara – Iran Amerika - yang telah di batalkan oleh Trump.
Pada subuh Jumaat itu Israel telah menggunakan lebih dari 200 buat jet pengebom. Selain dari Natanz lebih dari 100 tempat lain telah menjadi sasaran – termasuk Tehran.
Serangan ini telah menewaskan beberapa orang pakar saintis ilmuwan nuklear Iran. Turut sama di bunuh pada subuh itu ialah Hossein Salami Ketua Pengawal Revolusi Iran, Muhamad Bageri Ketua Angkatan Tentera Iran dan Gholamali Rashid Ketua Markas Pusat Pengawal Revolusi Iran.
Dari apa yang telah berlaku jelas Operasi Singa Bangun ini telah lama di rancang. Sosok-sosok yang tewas ini telah dibunuh melalui drone yang telah diseludup dan disediakan berada dalam wilayah Iran. Ini taktik yang sama seperti Operation Spider’s Web yang digunakan oleh Ukraine ketika menyerang Rusia baru-baru ini.
Ini bermakna Mossad dan kuncu-kuncu barua upahan Israel telah lama mengintip dan mengenal pasti sosok-sosok yang wajib dibunuh. Mereka yang dibunuh adalah sosok yang berperanan penting dalam pentadbiran kerajaan Iran. Mereka bukan kecik anak.
Wajib di ingati ketika serangan ini berlaku perundingan antara Amerika dengan Iran sedang berjalan di Oman. Malah dari laporan berita rundingan ini telah sampai ke tahap positif.
Justeru kerana ini umum telah membuat andaian bagaimana Trump telah di gunakan oleh Netanyahu dalam projek menyerang Iran. Malah ada pemerhati politik seperti Scott Ritter – pegawai PBB yang bertanggungjawab menyelidik fasilitas nuklear Saddam Hussein yang menganggap Trump bersubahat dan tahu akan rancangan Netanyahu.
Mengikut pandangan Scott Ritter – yang juga bekas pegawai Marine Corps soldadu Amerika ini - rundingan di Oman ini sengaja di jalankan untuk mengkaburi mata Iran. Walhal Netanyahu sedang merancang untuk menyerang.
Rundingan ini bertujuan untuk melalaikan Iran. Juga memberi harapan jika rundingan berjaya maka segala sekatan ekonomi yang di kenakan terhadap Iran akan di tarik balik.
Malah pemerhati dan penganalisa geo-politik seperti bekas penasihat Presiden Reagan dan Gorbachev : Profesor Jeffrey Sachs dari Universiti Columbia berpendapat Trump telah membuat teater untuk membantu Netanyahu dan Israel.
Lawatan Trump dan ucapan Trump ketika melawat Saudi Arabia kini dilihat sebagai taktik untuk memperlihatkan bahawa Trump dan Netanyahu tidak lagi tidur sebantal. Trump secara disusun menyanyi lagu Nina Bobo untuk Iran.
Bila perang pecah Marco Rubio Setiausaha Negara Amerika terus berkata : Kami tidak tahu apa-apa. Amerika tidak terlibat.
Apakah Trump terlibat ? Apakah Amerika terlibat ?
Walau apa pun kenyataan yang menafikan keterlibatan Trump dan Amerika – tidak ada sesiapa yang akan percaya. Umum – dunia tahu tanpa kuasa dan sokongan Amerika - Zionis Israel telah lama terkubur.
Iran membalas serang Israel dengan pantas sekali. Ratusan peluru berpandu Iran telah meluncur masuk ke wilayah Israel. Sasaran Iran ialah pusat-pusat dan bangunan strategik ketenteraan. Depot menyimpan peluru dan pangkalan soldadu.
Malah laporan awal telah memberitakan bagaimana Iran telah berjaya menembak jatuh 3 pesawat F35 buatan Amerika. Jika berita ini sahih makan jelas Iran memilik keterampilan pertahanan yang unggul.
Apa yang jelas ialah berjayanya peluru berpandu hipersonik Iran yang di panggil Fattah1 menembusi Iron Dome – benteng anti peluru berpandu buatan Amerika. Iron Dome ini di hebohkan sebagai benteng pertahan yang mustahil di tembusi.
Dari klip video yang kini jadi tontonan awam dalam YouTube jelas terbukti bahawa Iron Dome ini telah gagal menembak jatuh Fattah 1 yang lajunya 16,000 ke 18,000 kilometer sejam. Dari Iran ke Israel Fattah 1 akan mengambil masa hanya 12 minit sebelum meledak.
Iran bukan sahaja menyerang dengan peluru berpandu. Malah beratus-ratus drone yang membawa bahan peledak telah berjaya meluncur masuk ke Israel. Drone Iran aktif diseluruh Israel. Banyak yang gagal meledak tapi yang berjaya telah membawa malapetaka kepada Zionis Israel.
Amat jelas bentuk perang kali ini telah berkalih jauh dari zaman Perang Dunia Ke dua atau Perang Vietnam atau Perang Iraq. Hari ini teknologi AI dan sistem satelit saling bantu membantu untuk serang menyarang.
Ketika tulisan ini di garap belum dapat dilihat apa penyudah perang ini. Apa yang dunia lihat sekarang ialah Iran semakin banyak mendapat sokongan. Rusia yang ada Perjanjian Pertahanan dengan Iran jelas menyokong Iran. China juga telah menyatakan simpati kepada Iran. China membeli minyak dari Iran walau pun Iran menghadapi sekatan ekonomi.
Apa bentuk bantuan dari negara-negara ini mustahil akan kita ketahui.
Apa yang paling menarik ialah sikap Putera Muhamad Bin Salman (MBS) dari Saudi Arabia. Umum tahu bahawa Saudi ialah tanah jajahan Amerika tetapi kali ini MBS telah membuat kenyataan menyelar dan mengutuk Israel.
Sikap Turki dan Pakistan cukup jelas. Dua negara yang memiliki kekuatan tentera ini mengutuk Israel dan mahu Israel menghentikan serangan.
Satu negara Arab yang dilihat belot ialah Jordan. Bukan sahaja tidak bersimpati terhadap Iran malah peluru berpandu yang melintasi ruang udara Jordan telah di tembak jatuh oleh tentera Jordan.
Tabik hormat wajib diberikan kepada Kim Jong Un dari Korea Utara. Negara ini kini menjadi rujukan bukan sahaja kepada Iran malah kepada banyak negara lain di Dunia Ke Tiga. Korea Utara dibuli. Ekonomi disekat tetapi tidak ada sesiapa berani menyerang negara ini kerana Korea Utara memiliki senjata nuklear.
Akhirnya Iran jika terus di sekat, jika terus di serang jika terus di asak ke dinding maka Iran akan mengambil dasar seperti Korea Utara yang memiliki senjata nuklear. Malah telah di dengar suara dari Tehran bahawa ada kemungkinan Iran akan keluar dari Perjanjian Nuklear IAEA – Internasional Atomic Energy Agency.
Perjanjian IAEA ini tidak membenarkan mana-mana negara untuk membuat bom nuklear. Negara yang menanda tangani perjanjian ini hanya dibenarkan menggunakan tenaga nuklear untuk kegunaan tenaga leterik. Pegawai dan pakar dari lembaga IAEA akan memeriksa fasilitas nuklear mana-mana negara dari masa ke semasa.
Pada ketika ini Netanyahu dan Israel sedar bahawa projek untuk memusnahkan fasilitas nuklear Iran ini adalah mustahil. Israel tidak memiliki bom Bunker Buster. Bom ini boleh menerbus masuk sejauh 200 kaki ke dalam bumi untuk meledak.
Fasilitas nuklear Iran semuanya di simpan dalam perut bumi di wilayah gunung ganang. Justeru Netanyahu mahu menjerut leher Amerika untuk turun sama memerangi Iran. Hanya pesawat B2 dari Amerika sahaja yang berupaya membawa bom seberat 13,600 kg atau yang kecil sedikit beratnya 2,300 kg.
Netanyahu sedaya upaya sedang membuat helah agar Amerika masuk sama memerangi Iran. Justeru jangan terperanjat jika Israel membuat Operasi Salah Bendera - dimana Israel sendiri akan mengebom kapal Amerika dan menuduh ini kerja Iran. Projek seperti ini bukan satu yang mustahil untuk Israel.
Akhir-akhir ini Netanyahu telah menambah satu lagi tujuan menyerang Iran : Regime Change – Mengubah Kerajaan. Dalam ucapan kepada media Netanyahu telah menyeru agar warga Iran bangun memberontak dan menjatuhkan Kerajaan Republik Islam Iran.
Netanyahu sedar bahawa selagi kerajaan Republik Islam Iran wujud di bawah garis politik Islam yang dipimpin oleh Alim Ulama – Zionis Israel akan terus berhadapan dengan Iran. Republik Islam ini mustahil dimandulkan seperi Mesir atau Iraq.
Iran dengan garis politik Islam telah menjanjikan bahawa regime Zionis Israel akan di kebumikan. Palestin dari sungai ke laut pasti merdeka. Umat Islam di seluruh dunia boleh kembali bersembahyang di Masjid Al-Aqsa. Inilah janji suci Iran kepada umat dunia. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/news/746429







Tiada ulasan:
Catat Ulasan