Izzah enggan ulas isu tawar Rafizi jadi timbalan presiden lantikan
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan bahawa dia menawarkan jawatan timbalan presiden lantikan kepada Rafizi Ramli.
Sebaliknya Nurul Izzah menegaskan sesuatu perkara yang dibincangkan secara peribadi antara rakan sepatutnya kekal sulit.
"Saya percaya bahawa perkara yang dibincangkan secara sulit antara kalangan sahabat seharus kekal antara mereka,” katanya seperti dipetik NST.
"Saya dengan ikhlas mahu membina jambatan dalam parti," tambahnya.
Nurul Izzah berjaya mengetepikan Rafizi dari jawatan nombor dua PKR dalam pemilihan parti itu yang berlangsung di Johor pada 23 Mei lalu.
Tiga hari sebelum pemilihan, Rafizi mendakwa Nurul Izzah telah memintanya untuk membantu parti selepas pemilihan selesai, dan membayangkan untuk memberi satu jawatan.
Semalam Rafizi mendakwa dia ditawarkan jawatan timbalan presiden kedua PKR oleh Nurul Izzah. Jawatan tersebut diberikan secara lantikan.
Bagaimanapun tegas Rafizi dia menolak sebarang jawatan dalam parti sebagaimana prinsipnya ketika berkempen.
“Nurul Izzah ketika jumpa saya hari itu, dia cuba nak bawa kalau ada timbalan presiden dilantik.
“Kalau (jawatan) presiden dilantik sekalipun saya tak berminat, apatah lagi apa-apa jawatan lain,” kata Rafizi kepada media dalam satu program di kawasan parlimennya semalam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan