Pemimpin tertinggi, tentera Iran ikrar serangan balas yang kuat terhadap Israel
TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran Israel akan menghadapi akibat yang amat berat susulan serangan maut yang dilancarkan ke atas republik Islam itu awal pagi tadi.
"Dengan jenayah ini, rejim Zionis telah menetapkan nasib yang pahit dan menyakitkan untuk dirinya sendiri, dan ia pasti akan menerimanya," kata Khamenei dalam satu kenyataan.
Angkatan Tentera Iran juga berikrar akan beri tindak balas yang keras terhadap serangan Israel, dengan pasukan pertahanan udara bersedia 100 peratus susulan serangan Israel ke atas Iran awal pagi Jumaat.
Jurucakapnya, Brig Jen Abolfazl Shekarchi, yang dipetik TV rasmi Iran, berkata Israel dan Amerika Syarikat (AS) akan membayar 'harga yang tinggi' susulan serangan Israel ke atas Iran.
Tehran mengesahkan Khamenei hidup dan sentiasa menerima taklimat mengenai perkembangan semasa, menurut sumber keselamatan kepada Reuters.
Menurut laporan terkini, satu letupan baharu kedengaran di tapak pengayaan uranium utama di tengah Iran, lapor televisyen rasmi negara itu, susulan serangan udara yang dilancarkan Israel terhadap republik Islam itu.
"Letupan baharu kedengaran di fasiliti pengayaan uranium Natanz di wilayah Isfahan," lapor penyiar berkenaan, sambil menayangkan kepulan asap hitam tebal dari tapak berkenaan.
Dua sumber Israel yang enggan dikenali mengesahkan Washington sudah dimaklumkan mengenai serangan itu tetapi sama sekali tidak membabitkan AS. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan