MCMC: Pengguna telefon bimbit tiada pilihan, kena serah data
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menjelaskan tiada pilihan untuk pengguna telefon mudah alih menarik diri daripada projek perintis yang sedang berjalan, yang melibatkan pengumpulan data telefon mudah alih yang telah dinyahidentiti untuk tujuan statistik rasmi.
Bercakap dalam satu taklimat media di Cyberjaya, Timbalan Ketua Pengarah MCMC Zulkarnain Yasin menegaskan pengumpulan data ini dilaksanakan berdasarkan keputusan kabinet yang dibuat pada 19 April 2023.
“Saya rasa apa yang sedang kami lakukan ini adalah demi pembangunan negara.
“Ini juga sebahagian daripada keperluan peraturan yang telah kami minta pihak pengendali untuk patuhi,” katanya.
Inisiatif ini berikutan kelulusan kertas cadangan bertajuk Projek Data Raya Nasional: Data Telefon Mudah Alih yang dibentangkan kepada Kabinet oleh Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah bidang kuasa Menteri Ekonomi.
Anggota MCMC, Derek John Fernandez berkata Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membenarkan perkongsian data telefon mudah alih yang telah dinyahidentiti bagi menyokong penambahbaikan infrastruktur.
“Apabila kami laksanakan perkara ini, kami gunakan penanda aras berdasarkan piawaian dan amalan antarabangsa.
“Saya merujuk anda kepada laporan kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pakar-pakar lain dalam hal ini,” katanya.
Dia memberi jaminan tiada data peribadi yang boleh dikenal pasti dikumpul di bawah arahan MCMC yang meminta syarikat telekomunikasi menyerahkan log panggilan dan penggunaan internet pengguna bagi suku pertama tahun ini.
Ketika ditanya jika ada pengguna mudah alih yang bimbang tentang perkongsian data boleh memilih untuk tidak terlibat, Zulkarnain menjawab ringkas: “Tidak.”
MCMC turut menjelaskan PBB telah mengiktiraf data telefon mudah alih sebagai salah satu sumber data raya (big data) yang digunakan dalam penghasilan statistik rasmi, sebagaimana yang dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan.
Berbeza dengan kaedah tinjauan atau banci tradisional, analisis rekod panggilan dan rekod butiran protokol internet yang telah dinyahidentiti daripada menara transmisi telekomunikasi memberikan gambaran tentang kualiti perkhidmatan, tahap perkhidmatan dan taburan pengguna hingga ke peringkat sub-daerah atau daerah.
“Lokasi peranti (berdasarkan menara transmisi) tidak mendedahkan lokasi sebenar pemilik.
“Kami tidak mahukan maklumat (peribadi) itu, kami tidak perlukan maklumat itu, ia tidak relevan dengan apa yang sedang kami lakukan,” tegas Fernandez.
Dia turut memberi jaminan tiada pihak ketiga terlibat dalam pengendalian data tersebut.
Syarikat telekomunikasi dinasihatkan sama ada memproses data dalam sistem selamat mereka sendiri dan menyerahkan output yang telah dinyahidentiti dan diagregatkan kepada MCMC, atau menyerahkan data dinyahidentiti untuk diproses.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Analitik Data Raya Negara, Jamaliah Jaafar yang turut hadir menekankan Jabatan Perangkaan terikat dengan akta pentadbirannya sendiri yang melarang perkongsian sebarang data selain daripada statistik agregat yang diterbitkan.
“Setakat ini, kami masih menunggu untuk menerima data daripada MCMC.
“Ketika ini, kami di Jabatan Perangkaan sedang menyediakan infrastruktur untuk projek perintis yang akan berjalan hingga tahun hadapan,” katanya.
Menjawab kebimbangan berkenaan ketiadaan rundingan awam mengenai projek ini, Jamaliah menjelaskan sesi libat urus awal telah dijalankan dengan pihak industri bagi menilai tahap kesiapsiagaan manakala rundingan awam yang lebih luas dirancang selepas projek perintis berakhir tahun depan.
Zulkarnain berkata peringkat awal projek ini memberi tumpuan kepada menangani kebimbangan berkaitan keselamatan data dan memastikan data yang dikumpul digunakan untuk tujuan yang dimaksudkan.
“Apabila kami telah membina keyakinan dalaman, barulah kami akan pergi kepada orang awam,” katanya.
Sebelum ini, MCMC menjelaskan bagi sektor pelancongan, data tersebut digunakan untuk menjana penunjuk seperti jumlah pelawat dan perjalanan pelancongan domestik manakala dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi, data itu membantu menghasilkan statistik yang lebih terperinci.
Secara berasingan, U Mobile Sdn Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan Telekom Malaysia Bhd masing-masing telah mengeluarkan kenyataan yang mengulangi penjelasan kerajaan bahawa tiada maklumat peribadi akan diserahkan.
Sementara itu, U Mobile dan Telekom Malaysia menyatakan sokongan terhadap inisiatif MCMC ini, keempat-empat syarikat memberi jaminan bahawa semua data yang diserahkan akan mematuhi peraturan kebangsaan.

Jatuhkan kulop
BalasPadamBaiklah setuju tetapi siapa akan ganti nanti? Atok 100 tahun? Mahiaddin? Ismail Sabri? KJ the Deejay? Cuba cerita siapa? Siapa boleh dipercayai sekarang? Semuanya kaki penyapu besar setiap kali ada peluang? Kah kah kah
BalasPadam