KE ARAH PERANG
DUNIA KE TIGA
Ketika tulisan ini digarap perang antara Rusia dan Ukraine makin merancak. Perang ini bermula pada 20 Februari 2014 bila mana berlakunya rampasan kuasa di Ukraine. Kuasa baru di Kyiv ini mahu Ukraine menjadi ahli NATO. Dasar ini di tentang oleh Rusia.
Satu bulan kemudian Rusia mengambil kembali Pulau Crimea yang asal usulnya bumi Rusia. Sebagai jawapan wilayah Donbas yang majoriti etnik Rusia di bantai oleh soldadu Ukraine. Etnik Rusia minta bantuan dari Putin. Rusia masuk membantu – perang pecah - hanya tamat dengan Perjanjian Minsk pada 5 September 2014.
Perjanjian Minsk ini gagal. Maka pada 22 Februari 2022 Putin melancarkan apa yang di panggil – Operasi Istimewa – Special Operation – bala tentera Rusia masuk ke Ukraine untuk mengambil alih empat wilayah Donbas yang majoritinya etnik Rusia. Perang berterusan hingga hari ini.
Ketika tulisan ini di garap Gaza Palestin masih menjadi mangsa genosid Israel. Angka kematian telah melintasi 50 ribu. Gaza telah di serang oleh Israel berkali-kali. Semenjak Israel menjajah Palestin pada tahun 1948 Gaza terus menjadi mangsa. Pada tahun 2008, 2012, 2014 dan 2021 Gaza telah diserang Israel.
Pada 7 Oktober 2023 Al-Qassam Briged - gerila Hamas - telah memecah tembok dan kawat berduri dan masuk ke dalam wilayah Israel. Hamas mengambil 251 orang tawanan.
Sebagai jawapan Netanyahu melancarkan Operation Gideon Chariots untuk menyerang Gaza. Dua tujuan induk. Pertama untuk menghapuskan dan memusnahkan Hamas yang telah berkuasa di Gaza lebih dari dua dekad. Kedua untuk membebaskan semua tawanan.
Hingga ke hari ini dua tujuan Netanyahu gagal.
Ketika tulisan ini di garap Perang Saudara sedang berjalan di Sudan. Pada 15 April 2023 berlaku pemberontakan. Askar kerajaan Sudan pecah dua. Perang saudara ini bukan saja menjemput beratus ribu kematian tetapi telah membawa kebuluran yang maha sangat.
Perang saudara di Sudan ini tidak mendapat liputan meluas seperti perang di Gaza atau di Ukraine. Tetapi kemusnahan dalam perang adalah sama.
Hakikatnya tiga tahun ini dunia berhadapan dengan perang. Jelas kelihatan di Ukraine , di Gaza dan di Sudan jalan damai masih jauh dan berliku. Percubaan untuk menjalin damai wujud tapi semuanya gagal.
Pada hemat saya warga dunia hari ini telah menerima perang dan bunuh membunuh sebagai satu kebiasaan baru – the new normal. Bangunan runtuh, bom meledak, askar luka parah, mayat bergelimpangan dan politikus berlabun telah menjadi hiburan harian untuk kita semua.
Kita tidak lagi terperanjat melihat imej anak kecil perut terbarai atau ibu ayah meratapi mayat anak yang sedang berdarah terbujur. Berita angka kematian, berita pertempuran kini menjadi juadah berita harian kita. Kita tidak lagi terperanjat.
Apakah kita telah lali justeru kita menerima perang, pembunuhan , kehancuran atau genosid sebagai kebiasaan baru. Semua ini di anggap the new normal. Amin.
Saya tidak ingin dituduh sebagai pembawa berita buruk. Tetapi saya juga rasa terpanggil untuk memberi ingatan bahawa apa yang sedang berlaku hari ini – perang yang berterusan hari ini – akhirannya memungkinkan Perang Dunia Ke Tiga.
Bila saya menulis tentang kemungkinan Perang Dunia Ke Tiga saya selalu merujuk kepada Jam Kiamat – Doomsday Clock. Jam Kiamat ialah jam simbolik metafora yang dicipta oleh Buletin Saintis Atom pada tahun 1945. Sosok-sosok yang mencipta jam ini termasuklah Albert Einstein dan Robert Oppenheimer – pembuat Bom Atom.
Jam ini menggambarkan betapa dekatnya manusia dengan malapetaka global. Jika jam ini sampai ke detik tengah malam – ini menandakan hari kiamat. Jauh dan dekat umat manusia ke tengah malam mengikut Jam Kiamat ini berdasarkan tahap ancaman yang ditimbulkan oleh perang nuklear, perubahan iklim dan teknologi yang mengganggu.
Pada tahun 2024, umat manusia semakin hampir kepada malapetaka. Trend yang sangat membimbangkan. Lembaga Sains dan Keselamatan yang mengendalikan Jam Kiamat melihat terdapat tanda bahaya yang jelas, pemimpin negara dan masyarakat mereka telah gagal melakukan apa yang diperlukan untuk mengubah haluan.
Akibatnya, Lembaga Sains dan Keselamatan mengalihkan Jam Kiamat daripada 90 saat kepada 89 saat kepada tengah malam—yang paling hampir dengan malapetaka kiamat.
Ertinya umat manusia hanya ada 89 saat menuju hari kiamat. Pada hemat saya ini terlalu hampir. Malah ada lagi yang menggerun dan menakutkan saya. Apa yang menakutkan saya telah berlaku pada 1 Jun 2025 yang lalu.
Pada hari itu Ukraine telah membuat serangan paling terbesar ke atas Rusia. Ukraine telah melancarkan 117 drone. Agensi Reuters telah mengutip kata-kata pegawai Amerika tentang hal ini. Malah Rusia juga telah mengakui serangan ini berlaku.
Ini bukan serangan biasa. Mengikut kenyataan Presiden Zelensky sendiri : Operasi ini namanya Operation Spider’s Web. Operasi ini telah di rancang dengan teliti 18 bulan dahulu.
Drone ini telah dimasukkan ke dalam van dan di seludupkan ke wilayah Rusia. Pemandu-pemandu van ini diberi arahan untuk membawa van ini jauh ke dalam wilayah Rusia. Dengan teknologi yang ada van-van ini diikuti melalui sistem GPS. Bila sampai ke satu ketika yang di tetapkan atap van ini terbuka dan drone -drone keluar dan menuju sasaran.
Drone ini telah pergi jauh sekali ke dalam wilayah Rusia hingga sampai ke Timur Siberia – 4,300 kilometer dari Ukraine.
Apa yang memeranjatkan dunia ialah sasaran drone ini ialah lapangan terbang pesawat pengebom Rusia. Ini bukan lapangan terbang biasa. Ini bukan juga pesawat pengebom biasa. Ini adalah lapangan terbang untuk pesawat yang membawa senjata nuklear.
Di laporkan berbelas-belas pesawat Rusia ini telah musnah. Kyiv mendabik dada mengakui kejayaan operasi ini. Dilaporkan kemusnahan hampir mencecah 20 bilion dolar.
Pihak berkuasa Ukraine mendakwa telah memukul 41 pesawat, secara keseluruhan, termasuk pengebom Tu-95 Bear, Tu-22M Backfire, dan Tu-160 Blackjack.
Bila media bertanya kepada Trump tentang serangan Ukraine ini Presiden Amerika ini berkata : Saya tidak tahu.
Kenyataan pendek dari Trump ini telah menimbulkan banyak persoalan. Operasi ini pastilah telah dirancang di zaman Biden dan Perdana Menteri Sunak dari UK. Ini kerana operasi ini telah di rancang 18 bulan dahulu. Juga kenapa CIA dan lembaga risikan Amerika tidak memberi tahu Presiden Trump. Apakah jika Trump diberitahu tentang operasi ini maka Trump akan membatalkan.
Semua ini menimbulkan persoalan tentang apa yang sedang berlaku dalam pentadbiran Trump. Malah telah ditimbulkan andaian bahawa Trump sengaja di ketepikan. Kini CIA dan kaum Zionis sedang meneraju dasar Amerika. Amin.
Operasi Spider’s Web ini bukan operasi biasa. Sasarannya ialah lapangan terbang pesawat yang membawa bom nuklear. Pasti Rusia menganggap ini serangan latihan percubaan untuk memusnahkan persediaan senjata nuklear Rusia.
Juga bayangkan jika ketika drone ini menyerang lapangan terbang ini para soldadu dan pengawal di lapangan terbang itu tersilap baca – tersilap tafsir. Jika mereka merasa senjata nuklear mereka sedang diserang – ada kemungkinan Rusia akan membalas dengan ledakan bom nuklear.
Tarikh operasi ini juga diatur dan disusun dengan niat jahat. Serangan ini berlaku pada 1 Jun – esoknya 2 Jun pegawai Rusia dan Ukraine akan memulakan perbincangan mencari jalan damai di Istambul.
Jelas kelihatan ada satu jalur pemikiran yang tidak mahu Perang Ukraine di tamatkan. Garis pemikiran ini mahu Rusia terus dibantai. Putin perlu dijatuhkan. Rusia wajib di pecah-pecahkan. Sekatan ekonomi wajib diperketatkah.
Garis pemikiran ini wujud dikalangan pentadbiran Trump. Mereka sedia bekerjasama untuk meneruskan perang. Garis pemikiran ini amat kuat di Eropah. Emmanuel Macron dari Perancis, Keir Starmer dari UK dan Friedrich Merz dari German semuanya pengikut mazhab ini.
Trump di Amerika di baca tidak begitu memusuhi Rusia dan Putin. Malah satelah serangan ini berlaku Trump dan Putin telah bercakap melalui talipon. Trump hanya berkata : Rusia akan membalas serangan.
Ketika tulisan ini di garap dunia masih menunggu apakah bentuk balasan Putin terhadap Operation Spider’s Web. Apa yang jelas saban hari soldadu Rusia makin mara ke hadapan. Kota , pekan dan bandar di Ukraine makin banyak musnah. Jumlah kematian terus bertambah.
Jika dalam masa Trump menjadi Presiden Amerika jika Perang Ukraine dan Perang Gaza tidak tamat maka inilah tanda-tanda bahawa kita sedang menuju ke Perang Dunia Ke Tiga. Perang saudara di Sudan itu hanya jadi selingan.
Keberanian saya berkata demikian kerana Canselor Friedrich Merz dari German akan menambah jumlah askar daripada 182,000 askar aktif semasa kepada seramai 240,000 menjelang 2031.
German , UK dan Perancis bukan sahaja akan menambah bajet senjata malah akan memperkenalkan kembali sistem draf – 18 tahun ke atas jantan betina wajib jadi askar.
Paling meyakinkan saya bahawa Perang Dunia Ke Tiga sedang di rancang apabila pada 7 Jun 2025 akhbar the Guardian London melaporkan kerajaan German sedang merangka rancangan untuk meluaskan rangkaian kubu dan tempat perlindungan kalis bom.
Jerman sedang bersedia menangkis serangan bom nuklear dari Rusia dalam tempoh empat tahun akan datang. Apakah kita semua tidak memahami tanda-tanda ini. Atau semua ini telah menjadi perkara biasa dan lupa akan Jam Kiamat yang makin dekat ke tengah malam. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/news/745751








Fasis adalah kejadian manusia paling buruk. Kedua ekstrim kapitals dan communist pun sanggup kerja bersama memijak fasis. Orang atau pihak yang sama dalam china, amerika-nato atau kesatuan eropah.
BalasPadam