Yusoff Rawther saksi pertama bicara saman terhadap Anwar
KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther dijadual memberi keterangan sebagai saksi pertama bicara kes saman terhadap Anwar Ibrahim yang ditetapkan pendengarannya di Mahkamah Tinggi pada 16 Jun ini.
Peguam Muhamamad Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya yang merupakan saksi utama, bersedia untuk memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.
“Setakat ini, kami akan memanggil empat saksi memberi keterangan (termasuk Muhammed Yusoff). Semua pernyataan saksi telah siap manakala senarai saksi juga telah difailkan.
“Untuk makluman, Muhammed Yusoff berada dalam keadaan sihat. Dia menunggu-nunggu peluang untuk memberi keterangan di mahkamah dalam kes (saman) berkaitan kes gangguan seksual yang difailkannya.
“Arahan mahkamah adalah agar pihak-pihak memfailkan pernyataan saksi pada 13 Jun ini dan diberikan kepada pihak defendan,” ujar beliau.
Terdahulu, Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan perbicaraan yang dijadualkan bulan ini selama tujuh hari iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun, dimulakan pendengarannya.
Mahkamah menolak permohonan lisan Perdana Menteri untuk penangguhan perbicaraan kerana tiada keadaan istimewa yang mewajarkan ia dibenarkan.
Terdahulu, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu kekebalan daripada tindakan saman yang difailkan bekas pembantu penyelidiknya.
Dua minggu lalu, Anwar memfailkan agar mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022. –

Tiada ulasan:
Catat Ulasan