Jumaat, 6 Jun 2025

NUKLEAR : IRAN DAN AMERIKA


NUKLEAR :

IRAN DAN AMERIKA


Ketika tulisan ini di garap  Iran dan Amerika sedang menjalankan perundingan  mengenai tenaga nuklear di Oman.  Iran mahu menggunakan  nuklear untuk menjana leterik untuk kegunaan awam. Amerika menganggap akhirnya Iran akan memiliki senjata bom nuklear.

Anggapan Amerika ini berasaskan bahawa  bahan nuklear uranium yang mengeluarkan tenaga leterik itu juga boleh di kumpulkan untuk di jadikan senjata bom nuklear.

Kelihatan jelas dua negara ini tidak  ada titik pertemuan. Yang terus menjadikan suasana ini tegang  ialah kewujudan   Zionis Israel yang menjadi batu  api.

Sebenarnya ketika Obama menjadi Presiden telah wujud perjanjian antara Amerika dengan Iran dimana Iran bersetuju tidak akan mengumpulkan bahan lebihan uranium dari loji tenaga nuklear untuk dijadikan senjata.

Perjanjian Amerika-Iran tahun 2015 ini telah di mansuhkan oleh Trump bila dia menjadi Presiden kali pertama  pada tahun 2017.   Trump menganggap ini satu perjanjian terburuk dalam sejarah.

Tidak dapat tidak di belakang   pembatalan ini ialah peranan Netanyahu dan Zionis Israel.

Kali ke dua Trump menjadi Presiden atas desakan Israel  -   Iran  sedang dipaksa meninggalkan dan melupuskan segala program pembinaan loji nuklear. 

Netanyahu mahu Amerika memaksa Iran mengikut  model Libya: pembongkaran  dan pemusnahan sepenuhnya program nuklear Iran. Ini perjanjian  2003 di mana Libya melepaskan cita-cita nuklearnya sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan dan diterima semula  ke dalam masyarakat antarabangsa.

Iran secara terbuka telah menyatakan kepada dunia bahawa Iran tidak memiliki niat untuk membuat senjata nuklear.  Ini berasakan fatwa yang telah di lafazkan oleh Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Tertinggi Iran.

Fatwa ini menentang pemerolehan, pembangunan dan penggunaan senjata nuklear bermula sejak pertengahan 1990-an. Pengumuman awam  fatwa ini pertama dilaporkan berlaku pada Oktober 2003, diikuti dengan kenyataan rasmi pada mesyuarat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna pada Ogos 2005.

Pada 26 March 2025 portal NDTV World  telah melaporkan kenyataan Tulsi Gabbard, Pengarah Perisikan Kebangsaan (DNI) Amerika Syarikat. Dia  berkata bahawa komuniti perisikan Amerika telah menilai bahawa Iran tidak secara aktif mengejar senjata nuklear pada masa ini, tetapi perbincangan mengenai nuklear telah meningkat di dalam rejim di Tehran. 

“ Lembaga risikan Amerika terus menilai bahawa Iran tidak membina senjata nuklear dan Pemimpin Tertinggi Khamenei tidak membenarkan program senjata nuklear yang digantungnya pada 2003," .

Ini kenyataan dari sosok yang maha mengetahui  tentang projek nuklear Iran.  Tulsi Gabbard mendapat maklumat dari jaringan risikan  yang mengintip apa yang berlaku di Iran. 

Kenapa Trump masih enggan menerima laporan dari lembaga risikan sendiri. Jawabnya amat mudah.  Pada ketika ini para Zionis Totok yang mengelilingi  Trump mahu menjerut Amerika untuk menyerang   Iran.

Jelas pada ketika ini ada dua garis   pendekatan mengenai  program nuklear Iran. Satu pandangan dari lembaga risikan yang menafikan Iran memiliki  niat untuk membina senjata nuklear. Dan satu lagi yakin Iran akan memiliki senjata nuklear.

Ketika Obama menjadi Presiden dia telah di tekan oleh Netanyahu agar jangan membuat apa-apa perjanjian dengan Iran.  

Agensi berita  Reuters pada 17 September 2012 melaporkan : Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa Iran akan mencapai ambang mampu membina bom nuklear hanya dalam tempoh enam atau tujuh bulan. 

Netanyahu juga mendesak Obama agar menyatakan dimana garis merah yang tidak akan di lintasi  oleh Iran.  Jika Iran melintasi garis merah ini maka Amerika akan mengambil tindakan ketenteraan.  Ini berlaku pada tahun 2012. Tahniah untuk Obama kerana tidak mempedulikan desakan Netanyahu.


Tahun 2025 telinga Presiden Amerika ada di hadapan mulut Netanyahu. Pengaruh Netanyahu dan kaum Zionis yang mengelilingi Trump cukup kuat.

Hakikatnya pada ketika ini Trump berdiri di tengah-tengah. Di kanan wujud  para pelobi Zionis yang mahu Iran diserang. Di kiri wujud sosok-sosok  seperti Tulsi Gabbard yang rasional tidak mahu Amerika terperangkap  digunakan oleh Israel untuk menyerang Iran. Di kanan wujud sosok separti  Pete Hegseth  Setiausaha Pertahanan Trump.

Pete Hegseth adalah  Zionis Totok ini  menentang penyelesaian dua negara – two states solution. Malah Pete Hegseth meluluskan pengembangan penempatan penjajahan Israel di Tebing Barat. 

Hari ini pemerhati politik terus bertanya apakah Iran akan diserang oleh Amerika.

Tidak dapat di nafikan semua yang dilakukan oleh Zionis Israel di Gaza, di Lebanon dan di Syria – semuanya menjurus untuk menjemput agar Amerika di bawah Trump akan menyerang Iran. 

Tindak tanduk  Netanyahu yang terus  melakukan genosid di Gaza adalah sebahagian dari strategi untuk memaksa Amerika masuk  ke dalam kancah perang di Timur Tengah.

Pada ketika ini soldadu Amerika telah sedia berada Pangkalan Udara Sultan  di Saudi Arabia.  Amerika juga telah menempatkan  dua kapal perang  USS  Harry S. Truman dan USS Carl Vinson di Laut Merah.

Apabila Netanyahu   menyerang Gaza maka Houthi di Yaman juga akan terus menyerang Israel.   Umum  mengetahu bahawa Houthi di Yaman ini di bersenjata oleh Iran.

Hakikatnya Houthi sedang mengawal perjalanan kapal di Laut Merah.  Lebih  dari 100 kapal kontena telah dialihkan ke sekitar Afrika dan bukannya menggunakan Terusan Suez. Malah ada kapal kontena yang berkait dengan Israel telah di bajak dan di letupkan. 

Untuk Netanyahu semua yang berlaku ini adalah projek  mengotek-otek Amerika melalui Houthi. Dari bulan Mac ke Mei 2025 Amerika telah menyerang Houthi. Mengikut laporan resmi kerajaan Yaman 125 warga telah terkorban.  Amerika mengebom Yaman melalui pengekalan kapal perang di Laut Merah.

Netanyahu  mahu  Amerika akan masuk menyerang Iran kerana Iran adalah pembekal senjata Houthi. Tanpa Iran Houthi tidak mungkin berjaya menembak peluru berpandu ke Tel Aviv hingga menutup lapangan terbang Ben Gurion  - lapangan terbang utama Israel.

Majalah Foreign Policy – majalah paling berpengaruh di Amerika telah menulis pada 2 Jun 2025 tentang kebuntuan perbincangan nuklear Iran.  Tulisan ini keluar ketika perbincangan  antara Amerika dan Iran sedang berjalan di Oman.

Foreign Policy menulis : Sama ada Tehran bersetuju untuk mengekang program nuklearnya, atau Amerika Syarikat akan menyerangnya. Presiden  Donald Trump terus memberi amaran tentang akibat ganas jika Iran menolak perjanjian, dengan mendakwa bahawa hanya dua alternatif wujud untuk membongkar kemudahan nuklear Iran—"letupkannya dengan baik atau letupkannya dengan kejam."


Jelas kelihatan jarum Zionis telah berjaya mempengaruhi Trump.  Kenyataan Trump untuk meletupkan makmal nuklear Iran pasti muzik merdu di dengar oleh Netanyahu dan kaum Zionis di Amerika.

Apakah muzik merdu ini akan meledak ?

Harus diakui untuk menyerang Iran bukan semudah membeli pisang di pasar Chow Kit. Masih ada juga sosok-sosok yang mengelilingi Trump  yang sedar dan mengetahui akan kekuatan bala tentera Iran.

"Program pembangunan senjata nuklear Iran adalah maju, dan Iran memiliki senjata peluru berpandu balistik yang semakin meningkat yang mampu menghantar hulu peledak nuklear pada jarak jauh," kata laporan agensi perisikan domestik Austria.

Jangan kita lupa pada 4 Mei 2025 yang lalu  Houthi telah menggunakan peluru berpandu buatan Iran.  Ini adalah peluru berpandu terbaru yang telah berjaya menembusi Iron Dome – Perisai Besi – benteng pertahanan Israel dari peluru berpandu. Lapangan terbang  Ben Gurion  meledak.

Senjata baru buatan Iran yang digunakan oleh Houthi ini  diberi nama Ghassem Basir. Ini  adalah  peluru berpandu balistik propelan padu  mempunyai kuasa jarak jauh untuk  menyerang  sekurang-kurangnya 1,200 kilometer.

Pada 5 Mei sehari sesudah Houthi berjaya meledakkan  Ben Gurion, negara-negara Barat telah menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan peluru berpandu Tehran, menuduhnya mengganggu kestabilan Timur Tengah.

Justeru pada ketika ini walau pun Trump telah membuat ugutan tapi hakikatnya Iran juga sedang bersedia.  Jika Iran di serang oleh Amerika yang menjadi sasaran Iran bukan New York bukan Chicago  tetapi Tel Aviv.

Netanyahu wajib berfikir berkali-kali sebelum Iran di serang. Amin. (TT)



TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL 
MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/745218

1 ulasan:

  1. iran adalah russia di timur tengah atau cuba di amirika selatan. ia adalah kestabilan. jika dapat, suatu lagi kuasa di asia tenggara. jika indonesia keras kepala juga, aman lah dunia imperialisma terkunci di tiga penjuru.

    BalasPadam