Cabang PKR Lenggong tidak terbubar walaupun 15 AJK letak jawatan
Cabang PKR Lenggong tidak terbubar walaupun 15 Ahli Jawatankuasanya (AJK) meletak jawatan secara serentak, kata Setiausaha Agung parti, Fuziah Salleh.
"Ibu pejabat sudah terima perletakan jawatan mereka. Dan saya juga sudah siasat status cabang.
"Status cabang tidak terbubar kerana memerlukan 21 AJK untuk letak jawatan sebelum cabang terbubar," katanya kepada Malaysiakini.
Fuziah berkata demikian sebagai mengulas tindakan 15 AJK yang meletakkan jawatan atas dakwaan wujud ketidaktelusan dan ketidakadilan dalam proses serta keputusan pemilihan parti di cabang tersebut.
Terdahulu, Ahmad Nizam Noh — salah seorang daripada lima calon Ketua Cabang PKR Lenggong — memaklumkan bahawa dia telah membuat laporan rasmi di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Putrajaya semalam.
Menurut Ahmad Nizam, hampir semua calon ahli jawatankuasa dari pasukannya menang besar, tetapi dia tewas sebagai calon ketua cabang.
Sebagai tanda protes, katanya, kesemua 15 AJK dari pasukannya yang menang dalam pemilihan telah meletakkan jawatan serta-merta.
Berdasarkan Fasal 37.3 Perlembagaan PKR, jawatankuasa cabang perlu terdiri daripada seorang ketua cabang, timbalan ketua, naib ketua, ketua pemuda, ketua wanita dan 15 AJK yang dipilih melalui pemilihan cabang.
Selain itu, ketua cabang boleh melantik dua naib ketua cabang, seorang setiausaha, seorang bendahari, seorang ketua penerangan, serta tidak kurang daripada lima dan tidak lebih daripada 20 AJK tambahan — menjadikan maksimum 31 AJK keseluruhan.
Untuk membubarkan jawatankuasa cabang, dua pertiga AJK iaitu sekurang-kurangnya 21 orang perlu meletak jawatan serentak.
Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati Perlembagaan PKR tidak begitu jelas berhubung kuasa pelantikan di peringkat cabang.
Fasal 38.2 menyebut bahawa notis mesyuarat jawatankuasa cabang hendaklah dikeluarkan oleh setiausaha cabang tidak kurang tujuh hari sebelum tarikh mesyuarat.
Jika setiausaha gagal berbuat demikian, maka pihak yang memanggil mesyuarat perlu mengeluarkan notis tersebut.
Sementara itu, Fasal 38.4 menetapkan bahawa korum mesyuarat jawatankuasa cabang adalah tidak kurang daripada satu pertiga jumlah keseluruhan ahli jawatankuasa.
Tiada peruntukan khusus dinyatakan mengenai kuasa ketua cabang untuk melantik ahli jawatankuasa sebelum mesyuarat pertama diadakan.

Fauziah...perjuangan kamu di Kuantan dah selesai ke belum???Dah jadi menteri tak kan dah lupa atau hanya gula-gula untuk orang Kuantan je!!!!!
BalasPadam