Anwar pelawa Rafizi, Nik Nazmi sertai semula kabinet
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia berhasrat untuk melihat bekas menteri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kembali menyertai kabinet.
Walaupun kedua-dua mereka telah mengemukakan surat peletakan jawatan dan memohon cuti, Anwar menjelaskan dia hanya meluluskan cuti tersebut bagi memberi ruang kepada mereka mempertimbangkan semula keputusan masing-masing.
Mengenai perkembangan lain, Anwar berkata dia masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini, untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.
" … biar mereka berfikir …. Saya kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Kabinet). Surat (peletakan jawatan) sudah diterima, tetapi saya belum terima (luluskan) peletakan jawatan mereka," katanya lapor Bernama hari ini.
Anwar berkata demikian selepas menghadiri seminar pemerkasaan organisasi dan satu mesyuarat tertutup bersama kepimpinan PKR hari ini.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah dua Naib Presiden PKR – Amirudin Shari dan R Ramanan, Setiausaha Agung Fuziah Salleh, Ketua Wanita Fadhlina Sidek, Ketua Angkatan Muda Kamil Abdul Munim, serta Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Akin.
Untuk rekod, pada 28 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi telah meletakkan jawatan sebagai menteri selepas tewas dalam pemilihan parti PKR.
Semasa seminar itu, Anwar turut menggesa para ahli PKR agar merapatkan barisan dan menyembuhkan perpecahan dalaman susulan pemilihan parti yang berlangsung bulan lalu.
Dia turut menekankan keperluan untuk bersatu dan menunjukkan kematangan demi misi besar parti.
“Bayangkan saya boleh bekerjasama dengan Umno, siap peluk-peluk.
"(Ahli parti) kena move on untuk agenda lebih besar. Kalau saya boleh bekerjasama dengan Umno, takkanlah saya tak boleh bekerjasama dengan kawan-kawan yang berbeza pendapat,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan