190 aduan pemilihan PKR: Bekas MP desak RoS campur tangan
Seorang bekas ahli parlimen dari PKR memohon Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan keputusan pemilihan PKR di semua peringkat yang sebelum ini mengundang pelbagai kontroversi khususnya fenomena yang disifatkan sebagai 'badan tanpa kepala'.
Dalam aduan kepada ROS, bekas ahli parlimen Lumut Mohd Imran Abd Hamid turut meminta ROS mengarahkan partinya mengadakan semula pemilihan PKR di semua peringkat.
"Saya mendesak mengadakan pemilihan semula di semua peringkat menggunakan kaedah lama, satu anggota satu undi.
"Keputusan perlu diumumkan secara 'real time', perlu dipapar di layar gergasi bersama gambar calon yang bertanding.
"Saya juga meminta ROS membatalkan keputusan pemilihan pusat pada 23 Mei lalu," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Imran yang juga bekas ahli Dewan Negara, dia membuat aduan di ROS pada 29 Mei.
Dalam aduannya kepada ROS, Imran berkata dia menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan proses dan prosedur pemilihan PKR.
Katanya, ini khususnya di peringkat cabang yang telah menyebabkan dia, dari cabang Lumut membuat aduan dan terdapat 190 aduan lain telah dibuat oleh cabang PKR di seluruh Malaysia.
"Jawapan secara bakul, yang kami terima adalah seperti dilapor, iaitu (dalam laporan) ‘Digital Audit and Forensic Report on the E-Voting System of Parti Keadilan Rakyat’ dan setelah diteliti terdapat beberapa perkara di muka surat 67 hingga 72 yang tidak disantuni oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa sehingga menyebabkan keputusan pemilihan di peringkat cabang dilihat seperti diatur.
"Oleh yang demikian, kami dengan pendirian berani kerana benar dengan ini memohon supaya keputusan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 Mei 2025 , mohon pihak ROS batalkan dan arahkan supaya dilakukan pemilihan semula di semua peringkat pemilihan," katanya dalam aduan tersebut.
Tambah Imran bahawa bekas timbalan presiden Rafizi Ramli, bekas naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad dan ahli MPP Akmal Nasrullah Mohd Nasir boleh menjadi saksi sekiranya ROS menyiasat aduan ini.
Dia juga kecewa dengan aduan dan pandangan anggota parti kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menurutnya tidak diberi pertimbangan.
Untuk rekod, pemilihan PKR bagi peringkat cabang yang berlangsung dari 11 hingga 20 April itu menyaksikan beberapa insiden kontroversi, termasuk kekalahan ketua cabang dari kumpulan yang memenangi keseluruhan jawatankuasa, yang kemudian digelar fenomena ‘badan tanpa kepala’.
Antara pemimpin PKR yang terjejas dengan keputusan seumpama itu termasuk Gan Ay Ling (Kangar), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Mohd Kamri Kamaruddin (Ampang), Chua Wei Kiat (Selayang), Rodziah Ismail (Shah Alam), dan Ginie Lim (Alor Gajah).
Beberapa calon seperti Timbalan Menteri Peralihan Tenaga, Akmal Nasrullah (Johor Bahru), serta pimpinan lain seperti Lee Chean Chung dan Kesavan Subramaniam telah mengemukakan bantahan rasmi kepada JPP susulan kekalahan mereka.
Susulan itu, setiausaha agung Fuziah Salleh pada 5 Mei, mengesahkan bahawa MPP telah memutuskan untuk menerima keputusan pemilihan cabang yang dipertikaikan.
Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan bagaimana keputusan itu dibuat.
Pada 7 Mei, juruaudit bebas Yinuo Technology melaporkan bahawa sistem e-undi PKR berfungsi dengan baik, walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
Audit tersebut menilai sistem, keselamatan, protokol, serta kebolehpercayaan operasi, termasuk proses e-KYC, aplikasi pengundian, dan sistem blockchain.
Audit terhadap keseluruhan proses pengundian dan tingkah laku pihak terlibat tidak menemui sebarang bukti kukuh berlakunya salah laku atau penyelewengan. Prosedur audit dalaman juga telah disemak dan didapati dilaksanakan dengan memuaskan.
Kesimpulannya, Yinuo menyatakan bahawa sistem e-undi telah mencapai objektifnya untuk merekod dan mengira undi secara selamat dan telus.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Fuziah untuk mendapatkan ulasan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan