Pastikan Dalang Aniaya Yussoff Rawther Kena Tindakan, Kata Hamzah
KUALA LUMPUR, 12 Jun 25 – Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin percaya wujud dalang konspirasi menganiayai bekas pembantu penyelidik ahli politik Yusoff Rawther.
Tegasnya, dalang tersebut perlu dikenakan tindakan bagi mengelakkan insiden penyalahgunaan kuasa seperti yang berlaku terhadap Yusoff berulang.
“Saya bersama Yusoff yakin wujudnya konspirasi dan penganiayaan dalam pertuduhan ini, yang menyebabkan dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama 9 bulan 10 hari tanpa dibenarkan ikat jamin.
“Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat agar bangkit bersama-sama untuk memastikan dalang kepada konspirasi dan penaniayaan ini diambil tindakan, kerana kita tidak mahu sejarah penyalahgunaan kuasa berulang kembali,” tegas Hamzah, dalam kenyataan di media sosialnya.
Timbalan presiden Bersatu berkata, sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada Yusoff sudah pasti dia akan merana seumur hidup kerana diletakkan di blok banduan akhir.
“Bayangkan jika ini terjadi kepada anak atau keluarga kita. Yusoff ditempatkan di blok banduan akhir, walhal beliau anak muda yang mempunyai masa depan.
“Apa jadi sekiranya keputusan di bawah pertuduhan Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 tadi tidak memihak kepada Yusoff?
“Orang tidak bersalah akan dipenjara seumur hidup,” tegasnya lagi.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepas dan membebaskan Yusoff yang merupakan bekas pembantu penyelidik ahli politik tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.
Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan. @politiko.my

Anwar air mutlak suci lagi menyucikan
BalasPadam