Timbalan Presiden PBS nafi terlibat skandal lesen lombong RM150,000
Seorang menteri kanan Sabah yang dituduh menerima RM150,000 kononnya untuk kelulusan lesen perlombongan di negeri itu, hari ini menafikan dia terlibat dalam skandal yang sudah terpalik ke atas ramai wakil rakyat termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor.
Menjawab laporan Malaysiakini pada 28 Jun lalu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah Jahid Jahim, menafikan dakwaan sumber yang mengaitkannya bersama lima lagi ahli parlimen Gabungran Rakyah Sabah (GRS) berdasarkan tangkapan skrin yang dikatakan diambil dari rakaman video.
“Beliau (Jahid) menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam sebarang skandal perlombongan seperti yang didakwa dan tidak pernah menerima sebarang dana berkaitan kelulusan mahupun pemberian lesen perlombongan di Sabah memandangkan kementeriannya tidak terlibat dalam pemprosesan lesen tersebut.
“Sebagai Adun bagi kawasan Tamparuli, beliau menyatakan bahawa tiada lesen penerokaan atau sebarang lesen berkaitan perlombongan yang telah diluluskan dan/atau dikeluarkan di kawasannya,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Jahid petang ini.
Sebelum ini, satu sumber memberikan Malaysiakini tangkapan skrin yang didakwa diambil daripada rakaman video yang melibatkan pemimpin terbabit.
Malaysiakini juga ditunjukkan petikan ringkas rakaman itu tetapi tidak dibenarkan untuk mengeluarkannya semula.
“Jumlah keseluruhan yang terlibat (untuk enam) adalah hampir RM4 juta - RM3.96 juta tepatnya,” dakwa sumber itu yang enggan dikenali.
Sebagai tambahan kepada bukti video, sumber itu mendakwa bahawa mesej WhatsApp dan dokumen lain wujud untuk menyokong transaksi tersebut.
Kata Jahid ada pihak tertentu terlibat dalam taktik melulu dengan memanipulasi media untuk mencipta naratif palsu rasuah ke atas orang tertentu sebelum sebarang siasatan rasmi dijalankan.
Dia juga menegaskan sedang mendapatkan pandangan undang-undang berhubung laporan yang mengaitkannya dengan skandal berkenaan.
“Tindakan Malaysiakini yang cuba mencipta naratif palsu ini merupakan satu pelanggaran undang-undang kerana ia mengajak orang awam membuat penghakiman sebelum proses undang-undang yang sewajarnya dijalankan.
“Beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguamnya dan berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini dan dua penulis (laporan berita) tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan