PAS Serah Memorandum, Nyata Sokongan Kepada Iran
KUALA LUMPUR, 19 Jun 25 – PAS menyatakan solidariti dan sokongan rasmi kepada Iran yang sedang menghadapi konflik dengan Israel.
Sokongan itu dinyatakan dalam satu memorandum yang dihantar secara rasmi kepada kedutaan republik Iran.
Delegasi PAS diketuai Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi serta Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.
“Ini jelas merupakan satu bentuk pencerobohan terhadap sebuah negara berdaulat.
“Iran telah menandatangani perjanjian antarabangsa berkaitan program nuklear, sedangkan Israel langsung tidak terikat dengan mana-mana konvensyen dan perjanjian, bahkan terus bertindak secara unilateral dan ganas,” katanya, dalam sidang media selepas pertemuan rasmi di Kedutaan Iran di ibu negara.
Tegas Khalil, serangan Israel terhadap Iran adalah melampaui batas, lebih-lebih lagi berlaku ketika negara tersebut sedang mengadakan rundingan diplomatik bersama kuasa-kuasa besar dunia berkaitan program nuklearnya di bawah seliaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Khalil tidak menolak tindakan Israel itu bermotifkan dendam terhadap pendirian tegas Iran yang secara konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang penubuhan negara haram Israel sejak tahun 1948.
“Umat Islam di seluruh dunia harus menolak sikap was-was dan curiga terhadap sesama umat. Sudah tiba masanya kita bangkit bersatu — tanpa mengira mazhab, kaum atau latar belakang — untuk menunjukkan pendirian bersama terhadap kezaliman yang berlaku,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, memorandum rasmi dari Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut diserahkan kepada Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia.
Memorandum itu antara lain menyatakan kecaman terhadap tindakan Zionis serta menyeru agar seluruh dunia Islam bertindak balas secara kolektif dalam platform diplomasi dan advokasi global.
PAS juga memberi jaminan akan menggerakkan pelbagai usaha lanjutan termasuk membawa usul khas di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) bagi mengutuk serangan tersebut.
PAS turut merancang mengadakan siri program kesedaran seperti siaran langsung, ceramah, forum dan wacana umum bagi memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap isu yang berlaku. @politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan