Calon presiden Colombia kritikal akibat ditembak ketika berkempen
BOGOTA: Calon presiden Colombia untuk pilihan raya akan datang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam selepas ditembak dalam satu acara kempen di Bogota.
Menurut pihak berkuasa, Miguel Uribe, 39, sedang berucap kepada penyokong di ibu negara apabila seorang lelaki melepaskan tembakan ke arahnya dengan dua das mengenai kepala dan satu lagi di bahagian lutut, sebelum suspek berjaya ditahan.
Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan Uribe rebah di atas bonet sebuah kereta putih dengan berlumuran darah.
Sekumpulan lelaki pula berusaha memegang dan menghentikan pendarahan.
Seorang pengawal keselamatan berjaya menahan suspek yang dipercayai seorang remaja lelaki berusia 15 tahun.
Uribe dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dan kini menjalani pembedahan bedah saraf serta 'prosedur vaskular periferal', menurut kenyataan Klinik Santa Fe di Bogota.
Isteri Uribe dalam satu kenyataan di akaun X miliknya, memaklumkan suaminya sedang bertarung nyawa ketika ini.
Pengarah Polis, Carlos Fernando Triana, berkata suspek turut cedera dalam pergelutan dan sedang menerima rawatan.
Dua individu lain iaitu seorang lelaki dan seorang wanita turut cedera, manakala sepucuk pistol jenis Glock dirampas di tempat kejadian.
"Hati kami hancur, Colombia sedang terluka," kata seorang usahawan wanita, Carolina Gomez, 41, kepada AFP sambil berdoa dan menyalakan lilin (tanda harapan dan doa untuk kesembuhan) Uribe.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan