Nik Nazmi perlu fikir semula keputusan berundur'
PUTRAJAYA: Dalam tempoh kurang seminggu lagi sebelum surat peletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad berkuat kuasa, Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Saifuddin Nasution Ismail, masih mengharapkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu menimbangkan semula keputusannya berundur dari Kabinet.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri, percaya masih ada ruang untuk Nik Nazmi memikirkan semula keputusan pengunduran itu kerana kebolehan dan bakat beliau masih diperlukan dalam pentadbiran Kerajaan MADANI.
"Saya mengenali Nik sangat lama, masa saya Timbalan Ketua Pemuda, saya sangat kenal dia, seorang yang sangat berbakat, intelektual orangnya.
"Sistematik gerak kerjanya, namun dia pun memilih untuk berundur dan cutinya berakhir 4 Julai ini. Ada ruang sedikit ini, saya masih lagi berhasrat untuk beliau kembali menjawat kedudukannya.
"Saya percaya Nik masih lagi ada ruang untuk menimbang dan memikirkannya. Saya masih boleh buat rayuan yang sama kerana saya tidak menyebelahi mana-mana DAMAI atau HIRUK," katanya semalam.
Tindakan peletakan jawatan itu diumumkan Nik Nazmi sebagai menyusuli langkah Rafizi yang mengosongkan kedudukan sebagai Menteri Ekonomi susulan kekalahan pada pemilihan PKR.
Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, harapan beliau agar Nik Nazmi agar mempertimbangkan semula keputusan peletakan jawatan itu adalah selaras keterbukaan Anwar Blackrock.
Namun, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan kekal melepaskan jawatan dalam Kabinet, berkuat kuasa 17 Jun lalu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan