‘Kamu tak guna sejak dulu’ - Keluarga kecam bekas bos Beng Hock
Keluarga Teoh Beng Hock mengecam bekas Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah kerana terus berdiam diri berhubung keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes kematian mendiang sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Dalam satu kritikan pedas di Facebook, adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan meluahkan kekecewaan mendalam terhadap Ean Yong — yang merupakan bos kepada abangnya ketika itu — kerana masih belum bersuara mahupun menyatakan pendirian jelas, meskipun sudah 21 hari keputusan NFA itu dimaklumkan.
“Enam belas tahun telah berlalu, dan kamu tetap tidak berguna seperti dulu. Kamu tidak buat apa-apa. Sepatah kata pun tidak diucap demi keadilan untuk Beng Hock.
“Berkali-kali, sama ada ketika menjadi kerajaan atau pembangkang, ahli Parlimen seperti Chow Yu Hui dan Tan Hong Pin bersuara mengenai ketidakadilan dalam kes Beng Hock. Mereka mengeluarkan kenyataan bersama, menolak keras keputusan NFA, dan menuntut agar pihak polis mendedahkan laporan siasatan penuh.
“Kamu pula? Bersembunyi di sebalik kedudukan yang selesa dan penuh keistimewaan, tidak mampu walau untuk menyatakan pendirian. Apa sebenarnya pendirian kamu?” kata Lee Lan, sambil menegaskan bahawa Ean Yong tidak sepatutnya terus berdiam diri.
Dia mendakwa Ean Yong mengelak daripada memikul tanggungjawab sejak hari kejadian, dan mempersoalkan mengapa dia tidak memastikan Beng Hock diiringi peguam ketika disoal siasat, atau mengapa keluarga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai penahanannya.
‘Tak pernah bersemuka dengan kami’
Lee Lan turut mendakwa Ean Yong gagal memberi sebarang kemas kini atau penjelasan kepada keluarga sebaik selepas kematian Beng Hock dan ketika acara pengebumian.
Katanya, Ean Yong hanya tampil dengan satu permohonan maaf ringkas lima hari kemudian, yang disifatkannya sebagai “sudah terlambat”.
“Kamu tidak pernah bersemuka dengan kami. Kamu tidak pernah beritahu kami apa yang sedang disiasat oleh SPRM. Apa sebenarnya yang tidak kena dengan akaun kamu? Kami hanya dapat tahu semasa inkues berkenaan kes rasuah apa yang disiasat oleh SPRM — dan kamu masih tidak memberi penjelasan penuh (kepada kami),” katanya.
Bagaimanapun, Lee Lan memaklumkan SPRM telah membersihkan nama Ean Yong daripada sebarang salah laku semasa inkues dijalankan.
Ketika dihubungi, Ean Yong enggan memberi sebarang komen berkenaan hantaran Lee Lan.
Namun, pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang itu berkata dia menyokong sepenuhnya kenyataan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada 8 Jun, yang menggesa AGC untuk menyemak semula keputusan menamatkan siasatan terhadap kematian Beng Hock.

betoi betoi betoi & tibai tibai TIBAI kah kah kah roadraya roadraya roadraya !!!
BalasPadam