‘Hakim didakwa campur tangan kehakiman mungkin akan jadi Ketua Hakim Negara’
Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli memberi amaran seorang hakim kanan yang didakwa terlibat dalam campur tangan kehakiman mungkin akan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara tidak lama lagi.
Bercakap dalam sebuah forum mengenai institusi kehakiman malam ini, Rafizi meramalkan proses itu akan bermula dengan pemangku Ketua Hakim Negara, Hasnah Hashim dan pemangku Presiden Mahkamah Rayuan, Zabariah Yusof, masing-masing dilantik secara rasmi ke jawatan itu, manakala hakim yang terpalit dengan dakwaan tersebut bakal dinamakan sebagai Hakim Besar Malaya.
Rafizi membangkitkan yang Hasnah dan Zabariah kini sedang menjalani lanjutan perkhidmatan selama enam bulan dan masing-masing dijadual bersara pada Oktober dan November tahun ini.
Katanya, ia membuka ruang kepada hakim yang terpalit dengan dakwaan itu untuk naik pangkat sekali lagi dan akhirnya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.
“Maknanya dalam tempoh lima, enam bulan dari sekarang, kita akan dapat Ketua Hakim Negara yang telah direkodkan – melalui minit mesyuarat (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, JAC) – sebagai orang yang berdepan dakwaan,” katanya.
Ahli Parlimen PKR itu merujuk kepada dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat JAC yang disebarkan di media sosial.
Dokumen itu dilihat selari dengan dakwaan campur tangan kehakiman yang mula diperkatakan bulan lalu, susulan kebocoran laporan polis yang dibuat oleh pihak hakim berkenaan.
Sementara Rafizi menyebut nama hakim terbabit secara khusus, Malaysiakini tidak mendedahkan identitinya sementara menunggu maklum balas rasmi daripadanya.
ADS
Rafizi mengingatkan jika ramalannya menjadi kenyataan, ia akan memberi kesan besar kepada institusi kehakiman dan boleh melemahkan semangat para hakim yang menjalankan tugas dengan integriti dan saksama.
Dalam forum malam ini, Rafizi turut menyuarakan kebimbangan golongan elit kaya yang terlibat dalam skandal campur tangan kehakiman VK Lingam dahulu, mungkin turut terbabit dalam krisis pada masa ini agar keputusan mahkamah berpihak kepada mereka.
Apabila diminta oleh media untuk mengulas lanjut mengenai dakwaannya, Rafizi sebaliknya meminta para wartawan supaya cuba menyemak semula kes-kes dalam skandal Lingam dan kes-kes besar yang sedang berlangsung di mahkamah.
Baca: Mengingati semula isu klip video Lingam
Krisis terkini berpunca daripada kekosongan jawatan kehakiman susulan persaraan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, tanpa pengganti diumumkan.

ex minister vs ex Armano/banduan 123 action tapi rakyat susun atur aksi ramai ramai d jalanraya d mana mana kerja buat fardhu ain & kifayah tahniah semoga berjaya!! Tabik 🤩🤗😄😅
BalasPadam