Iran ikrar tindak balas lebih keras jika diserang AS lagi
TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, memberi amaran negaranya akan bertindak 'lebih keras' jika Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang negara itu lagi.
Kenyataan beliau itu adalah reaksi terhadap ucapan Presiden AS, Donald Trump sebelum ini yang mengancam akan menghapuskan program nuklear Iran jika ia disambung semula selepas serangan udara AS bulan lalu.
"Jika pencerobohan berulang, kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas dengan lebih tegas dan dengan cara yang mustahil boleh disembunyikan.
"Jika ada kebimbangan mengenai kemungkinan peralihan program nuklear kami kepada tujuan tidak aman iaitu 'pilihan ketenteraan', kami sedia berunding.
"Sekarang sudah terbukti serangan tentera dilancarkan AS tidak berkesan, tetapi penyelesaian menerusi rundingan mungkin berhasil," katanya dalam satu hantaran di platform X.
Setakat ini, masih belum jelas tahap kerosakan akibat serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran, yang berlaku selepas serangan mengejut oleh Israel bagi menghalang Iran memperoleh senjata nuklear.
Serangan Israel itu juga telah menggagalkan rundingan nuklear antara AS dan Iran yang bermula sejak April.
Sepanjang perang 12 hari, Iran membalas dengan serangan peluru berpandu ke atas bandar Israel dan sebuah pangkalan AS di Qatar, namun Trump memandang ringan tindak balas itu.
Ketika lawatan ke Scotland pada Isnin, Trump menegaskan bahawa serangan terdahulu ke atas Iran 'telah menghapuskan kebolehan nuklear mereka'.
"Mereka boleh mulakan semula. Tapi jika mereka berbuat demikian, kami akan menghapuskannya dengan lebih cepat," katanya.
Sebelum tercetusnya perang, AS dan Iran berselisih pendapat mengenai isu pengayaan uranium di mana Tehran menganggapnya sebagai hak yang 'tidak boleh dirunding'.
Washington pula menyifatkannya sebagai 'garis merah' yang tidak boleh di lintas oleh Tehran.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan bahawa Iran adalah satu-satunya negara bukan kuasa nuklear yang kini memperkayakan uranium sehingga tahap 60 peratus.
Ia hanya sedikit di bawah paras 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan senjata nuklear.
Tehran, yang secara konsisten menafikan sedang membangunkan bom nuklear, menyatakan kesediaannya untuk membincangkan kadar dan tahap pengayaan uranium, namun tetap bertegas bahawa hak itu tidak boleh dipertikai.
Dalam hantaran sama, Araghchi berkata, tiada sesiapa yang waras sanggup meninggalkan hasil pelaburan besar dalam teknologi tempatan yang aman hanya kerana ugutan dari luar. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan