Akmal kecam guna perumpamaan binatang, doa kehancuran PM
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengecam pemimpin pembangkang yang menggunakan perumpamaan binatang merujuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin asing lain.
Akmal berkata Islam tidak pernah mengajar untuk menghina orang lain meski mempunyai perbezaan pendapat.
Dia juga mengkritik pihak yang berdoa untuk kemusnahan saudara seagama sendiri.
"Ada yang membaca doa Qunut Nazilah untuk kehancuran beliau (Anwar) walaupun sesama agama.
"Ada yang menyamakan Anwar dengan monyet dan pemimpin negara asing lain seperti binatang sedangkan perbincangan itu adalah untuk menyelamatkan ribuan nyawa rakyat akibat peperangan antara dua negara.
"Berbeza pendapat dalam politik itu perkara biasa, marah kepada lawan politik itu perkara biasa, tetapi Islam tidak ajar untuk mendoakan kehancuran sesama Islam dan Islam tidak mengajar kita untuk menghina orang lain.
"Berbeza pendapat dengan fakta bukan dengan emosi yang tidak matang," katanya di Facebook hari ini.
Walaupun Akmal tidak menyebut nama, perumpamaan binatang dipercayai merujuk kepada hantaran media sosial Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, yang kini sudah tidak dapat diakses.
Hantaran itu turut disertakan keterangan: "Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang."
Sementara doa Qunut Nazilah yang dikatakan dipercayai merujuk kepada doa yang dibacakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail di penghujung perhimpunan Turun Anwar Sabtu lalu, yang disertakan doa untuk kejatuhan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Doa Qunut Nazilah adalah doa yang dibacakan ketika umat Islam menghadapi musibah atau bencana besar.
Mengenai perkara itu, Akmal berkata walaupun dia tidak bersetuju dengan Anwar dalam beberapa isu, adalah penting untuk memujinya apabila dia melakukan sesuatu yang betul.
Adun Merlimau itu juga mengingatkan sekiranya seseorang itu tidak dapat melakukan sesuatu yang baik, sekurang-kurangnya orang itu tidak boleh menghalang orang lain daripada melakukan kebaikan.
"Rakyat mahukan politik matang yang membina, bukan dengan politik sempit yang merendahkan akal fikiran.
"Jika orang politik masih lagi dengan gaya politik yang sempit, jangan marah rakyat jika mereka benci kepada orang politik," katanya.
Namun Akmal juga sebelum ini pernah dikritik kerana berkongsi imej binatang yang menyerupai babi dan singa di media sosialnya, menggelarkannya sebagai "spesies baru".
Ia berlaku selepas pemimpin Umno itu bertingkah dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Sam Pah berhubung isu sandwic “ham” yang dijual di KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM), yang tertera logo halal yang tidak sah.
Akmal menyiarkan gambar itu untuk mengejek pemimpin DAP itu selepas pemimpin DAP itu berkata, "singa tidak berdebat dengan lalat."

Tiada ulasan:
Catat Ulasan