Krisis kebuluran di Gaza semakin buruk, 10 lagi kematian dilaporkan
GAZA: Sekurang-kurangnya 10 lagi rakyat Palestin mati akibat kebuluran di Semenanjung Gaza yang dikepung, kata pegawai kesihatan, lapor Al Jazeera.
Kematian terbaharu itu menjadikan angka yang terkorban akibat kekurangan zat makanan sejak perang Israel bermula pada Oktober 2023 meningkat kepada 111, kebanyakannya dilaporkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Rabu, sekurang-kurangnya 100 rakyat Palestin termasuk 34 individu yang bertindak sebagai pencari bantuan dilaporkan maut sejak 24 jam lalu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, 21 kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah antara mereka yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan setakat tahun ini.
Tambahnya, WHO tidak dapat menghantar sebarang makanan selama hampir 80 hari, antara Mac dan Mei dan penyambungan semula penghantaran makanan masih tidak memadai berbanding apa yang diperlukan.
Dalam satu kenyataan, 111 pertubuhan termasuk Mercy Corps, Majlis Pelarian Norway dan Refugees International, berkata 'kebuluran besar-besaran' merebak ketika bertan-tan makanan, air bersih dan bekalan perubatan tidak disentuh di luar Gaza, di mana akses terhadap bantuan terbabit disekat.
Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum yang melaporkan dari Deir el-Balah, kawasan di tengah Gaza, berkata 'kebuluran di Gaza berada di tahap kritikal.
"Keluarga di sini tidak lagi meminta (makanan) yang cukup, mereka meminta apa-apa yang boleh dimakan," katanya.
Tambahnya, penduduk Gaza menggambarkan sedang berlaku 'kematian secara perlahan dan menyakitkan akibat kebuluran yang didalangi tentera Israel'.
Sementara itu, Israel menolak kritikan antarabangsa yang semakin meningkat bahawa negara itu bertanggungjawab terhadap kekurangan makanan kronik di Gaza, sebaliknya menuduh Hamas sengaja mencetuskan krisis kemanusiaan di wilayah Palestin itu.
Jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, berkata 'tiada kebuluran yang disebabkan oleh Israel. Sebaliknya, kekurangan ini berpunca daripada perancangan manusia oleh Hamas'.
Presiden Israel, Isaac Herzog, ketika melawat pasukan tenteranya di Gaza, menegaskan bahawa Israel bertindak mengikut undang-undang antarabangsa.
Beliau sebaliknya menuduh Hamas berusaha mensabotaj pengagihan bantuan sebagai taktik untuk menggagalkan kempen ketenteraan Israel yang bermula lebih 21 bulan lalu.
Mencer turut menuduh Hamas, yang melancarkan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 sehingga mencetuskan peperangan, menyekat pengagihan bekalan dan merompak bantuan untuk kegunaan sendiri atau menjualnya pada harga lebih tinggi.
"Bantuan telah mengalir masuk ke Gaza," katanya, sambil menyalahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan-rakannya kerana gagal mengambil trak membawa makanan dan keperluan lain yang telah diluluskan dan sedia menunggu di sebelah Gaza.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa utusan tertingginya ke Asia Barat akan berlepas ke Eropah untuk mengadakan rundingan mengenai kemungkinan gencatan senjata di Gaza dan pembukaan laluan bantuan.
Dengan serangan maut Israel masih berterusan di seluruh wilayah itu, usaha menyampaikan bantuan kepada lebih dua juta penduduk yang memerlukannya kini menjadi isu utama dalam konflik, manakala doktor dan agensi bantuan melaporkan peningkatan kes kekurangan zat makanan dan kebuluran.
Beberapa pertubuhan kemanusiaan dalam kenyataan bersama berkata, gudang yang menyimpan bertan-tan bekalan masih belum diusik, manakala orang awam terperangkap dalam kitaran harapan dan kehampaan, menunggu bantuan dan gencatan senjata.
COGAT, sebuah agensi di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang mengendalikan hal ehwal awam di wilayah Palestin, berkata halangan utama untuk mengekalkan aliran konsisten bantuan kemanusiaan ialah kesesakan pengumpulan bantuan, berpunca daripada kelemahan pertubuhan antarabangsa. - AGENSI

Selalunya ramai orang bercakap pasal demokrasi keadilan hak saksama toleransi semuanya baik belaka tetapi tidak dipraktikkan apabila berkuasa, sebaik berkuasa mereka akan memikirkan cara-cara untuk terus kekal abadi berkuasa, ini termasuk orang-orang kita ditampuk kuasa, dahulu kala penjajah motivasi menjarah segalanya dibawa balik ke kampung halaman mereka, sekarang ini sama cuma dijarah dibawa masuk ke kantung sendiri, untuk itu agenda Palestin, agenda agama, agenda bangsa, agenda musuh Yahudi komunis akan digunakan bagi mengaburi pemikiran rakyat kah kah kah golongan cerdik pandai lari ke luar negara mencari negara-negara maju sebenarnya kafir yang mengamalkan sistem yang lebih adil saksama berbanding dengan negara-negara yang sama bangsa sama agama sama bahasa sebab itulah mereka tidak membantu jiran tetangga mereka sendiri kerana sudah mengetahui peranan perangai tetap sama kah kah kah
BalasPadam