Kes Zara Qairina tiada kaitan dengan isteri saya – Mustapha
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud menegaskan isterinya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan insiden kematian tragik melibatkan pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah menengah di Papar, Sabah, baru-baru ini.
Menurut Mustapha, isterinya, Rosnih Nasir, telah bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan pendidikan sejak November tahun lalu.
“Isteri saya adalah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar dan hanya berkhidmat di sekolah tersebut dari 20 Mac hingga 22 November 2024.
“Insiden melibatkan Allahyarhamah berlaku pada 16 hingga 17 Julai 2025, iaitu hampir lapan bulan selepas beliau bersara. Maka, cubaan mengaitkan beliau dengan kejadian tersebut adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Oleh itu, beliau menyifatkan dakwaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai tidak bertanggungjawab dan mencemar reputasi individu yang tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan awam.
Takiyuddin Hassan sebelum ini telah cuba mengaitkan nama isterinya dengan kes Zara Qairina dalam satu perbahasan di Dewan Rakyat.
“Dakwaan ini bukan sahaja mengelirukan rakyat, tetapi juga bersifat fitnah dan merupakan satu bentuk manipulasi politik yang tidak sepatutnya berlaku dalam ruang demokrasi yang matang,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Mustapha menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih serta memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Hormatilah proses siasatan yang sedang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jangan ganggu emosi dan maruah individu tidak bersalah dengan tuduhan yang tidak berasas.
“Saya dan keluarga turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina. Semoga mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini dan keadilan dapat ditegakkan,” tambahnya.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun memaklumkan siasatan terhadap kes tersebut masih dijalankan.
Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum ditemui dalam keadaan parah dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. –

Tiada ulasan:
Catat Ulasan