Korea Utara tawar sokongan penuh kepada Russia
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, memberi sokongan penuh kepada Moscow dalam konflik di Ukraine ketika pertemuan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, menurut agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, hari ini.
Menurut KCNA, pertemuan antara Jong-un dan Lavrov adalah sebahagian daripada siri kunjungan oleh pegawai kanan Russia ketika kedua-dua negara memperkukuh hubungan ketenteraan dan politik di tengah-tengah serangan berterusan Moscow ke atas Kyiv.
Jong-un dilaporkan berkata, Pyongyang bersedia memberikan sokongan dan galakan tanpa syarat terhadap semua langkah yang diambil oleh kepimpinan Russia dalam menangani punca sebenar krisis Ukraine.
"Tentera dan rakyat Russia akan meraih kemenangan dalam mempertahankan maruah serta kepentingan asas negara mereka," menurut Jong-un sambil memuji kepimpinan cemerlang Presiden, Vladimir Putin.
Pyongyang dilaporkan menghantar ribuan anggota tentera ke wilayah Kursk di Russia bagi membantu mengusir pasukan Ukraine, selain membekalkan peluru artileri dan peluru berpandu kepada tentera Russia.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Russia turut menyiarkan rakaman video yang memaparkan kedua-dua pemimpin berjabat tangan dan berpelukan ketika pertemuan di bandar Wonsan, di pantai timur Korea Utara, lokasi di mana sebuah resort besar dibuka awal bulan ini.
Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan perkara penting bagi melaksanakan perjanjian yang dicapai dalam sidang kemuncak bersejarah Korea Utara-Russia pada Jun 2024.
Menurut agensi berita milik kerajaan Russia, TASS, Lavrov memberitahu Jong-un bahawa Putin berharap untuk meneruskan hubungan langsung dalam masa terdekat.
Semalam, Lavrov bertemu rakan sejawatannya, Choe Son Hui, dan mengucapkan terima kasih kepada tentera Korea Utara yang digelar 'wira' kerana membantu Russia.
Kementerian Luar Russia berkata, kedua-dua pihak menegaskan tekad untuk bersama-sama menentang cita-cita negara ketiga cuba mencetuskan ketegangan di timur laut Asia dan rantau Asia-Pasifik secara keseluruhan.
Russia turut mengumumkan pelancaran penerbangan dua kali seminggu antara Moscow dan Pyongyang. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan