Dominic Lau:
FDI keluar
cecah
RM12.7 bilion
KUALA LUMPUR — Pengerusi Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyuarakan kebimbangan terhadap aliran keluar pelaburan asing (FDI) dari pasaran saham Malaysia yang kini mencecah RM12.7 bilion, disifatkannya sebagai “api marak yang terus membakar” pasaran saham tempatan. Beliau memberi amaran bahawa jika kerajaan tidak segera memperkenalkan langkah konkrit bagi mengembalikan keyakinan pelabur, jumlah itu dijangka melepasi paras RM13 bilion — angka tertinggi yang pernah dicatatkan tahun ini.
Menurut beliau, kadar pengeluaran dana asing berlaku jauh lebih pantas daripada jangkaan, menyebabkan banyak pelaburan berpotensi akhirnya lenyap begitu sahaja. Namun, perkara itu sering dijadikan alasan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk mempertahankan siri lawatan luar negaranya.
“Kita jangka aliran keluar ini akan reda selepas April, namun data terkini menunjukkan sebaliknya. Ia semakin meningkat. Ini menunjukkan pelabur masih berhati-hati dan kerajaan sebagai pentadbir utama tidak boleh terus berdiam diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dominic Lau turut mempersoalkan jumlah pelaburan berpotensi melebihi RM100 bilion yang diumumkan kerajaan hasil lawatan ke luar negara. Katanya, angka yang diumumkan mungkin kelihatan memberangsangkan, namun realitinya, tidak banyak yang benar-benar direalisasikan. “Ramai yang saya temui menyamakan pengumuman ini dengan bunga api – hanya meletup sekejap, cantik seketika, kemudian hilang begitu sahaja,” ujar beliau.
Beliau turut mengkritik Perdana Menteri yang didakwanya hanya pandai bercakap besar tetapi gagal melaksanakan dasar secara berkesan. Katanya, kerajaan kini terlalu bergantung kepada pinjaman dan peningkatan hasil cukai untuk menampung kekosongan fiskal, tanpa mengambil kira tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat.
Dalam kenyataan sama, Dominic mendedahkan bahawa pelabur asing telah konsisten menarik keluar dana dari Bursa Malaysia sepanjang tujuh bulan lalu. Pada 15 Julai sahaja, nilai jualan bersih oleh pelabur asing mencecah RM136.52 juta, iaitu yang tertinggi sejak Julai tahun lalu. Namun, katanya, kerajaan masih gagal mengemukakan sebarang tindakan balas yang konkrit dan berkesan.
Beliau turut membidas kenyataan Timbalan Gabenor Bank Negara, Encik Adnan Zaylani, yang sebelum ini menyatakan bahawa aliran keluar ini hanya bersifat sementara. “Tetapi ‘sementara’ ini telah berlarutan selama tujuh bulan. Ini membuktikan pelabur hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan. Jika tidak, mereka tidak akan terus menarik keluar dana,” katanya.
Dominic tidak menolak bahawa faktor luaran seperti dasar tarif Amerika Syarikat turut mempengaruhi sentimen pelabur, namun menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh terus pasif. Dengan hanya beberapa hari sebelum bulan Ogos, beliau menggesa kerajaan bertindak pantas sebelum keadaan menjadi lebih parah.— BebasNews

Tiada ulasan:
Catat Ulasan