Jumaat, 4 Julai 2025

PENGARUH ZIONIS



PENGARUH ZIONIS


Perang 12 Hari antara Israel dan Iran dihentikan dengan arahan Presiden Donald Trump. Tetapi serangan dan pembunuhan terhadap warga Palestin di Gaza  tidak di hentikan. Malah semakin menggila.  Projek genosid – membunuh habis-habisan warga Palestin di Gaza – sedang di teruskan.

Pada hemat saya  genosid di Gaza  dan Perang 12 Hari ini telah membawa beberapa bentuk pencerahan dan babak-babak sampingan.  Awalnya genosid di Gaza telah membuka mata anak- anak muda  mahasiswa dan pelajar di Amerika dan di Eropah. 

Pelajar dan mahasiswa dari universiti ternama di Amerika seperti Yale , Columbia atau   Havard telah keluar ke jalan raya menunjukkan setia kawan  mereka dengan Palestin. 

Bila pelajar dari Yale atau Havard berdemo ianya menjadi berita hangat. Nama Palestin kini kembali ke muka depan  media Amerika dan antarabangsa. Agenda penjajahan bumi  Palestin oleh Zionis Israel kini menjadi perbualan dunia.

Setelah Perjanjian David (1978) dan Perjanjian Olso (1993-95) – agenda Palestin ini menjadi senyap hinggalah Hamas menyerang Israel pada subuh 7 Oktober 2023 yang lalu.  Hamas membuka kembali agenda Palestin ke muka dunia. Ini kejayaan awal Hamas.

Dalam masa yang sama juga kita lihat genosid di Gaza ini bukan sahaja memanggil anak semua bangsa dan bangsa semua agama untuk mengambil sikap.  Kini tidak ada lagi eeek tidak ada lagi oook dalam hal Palestin.

Palestin memaksa warga dunia untuk menunjukkan sikap. Palestin memberi umat dunia  peluang untuk tegak berdiri bersama keadilan dan kemanusiaan atau bersama penjenayah genosid.

Kemanusiaan umat manusia tercabar oleh Gaza dan Palestin.

Bila saya membaca dan melihat gerakan anak muda dan mahasiswa di Amerika dan di Eropah berdemo menyokong perjuangan adil Palestin - ini mengembalikan ingatan saya kepada Perang Vietnam tahun 60’an dan awal 70’an.

Ketika Perang Vietnam berjalan warga kampus di Amerika, di United Kingdom, di Paris, di Berlin, di Rom, di Tokyo dan di Melbourne  - telah bangun ke jalan raya. Pelajar dan mahasiswa mengemudi sokongan terhadap perjuangan adil rakyat Vietnam – kini beralih ke Palestin.

Gaza juga membawa satu babak baru. Kali ini anak-anak muda Yahudi bersama para Rabai , terutama di New York telah sama bangun menentang  genosid. Penganut Yahudi yang turun berdemo ini  mahu dunia mengetahui bahawa ada perbezaan hakiki diantara agama Yahudi dengan fahaman Zionis. 

Mereka tidak mahu kesucian agama Yahudi di sabitkan dengan pembunuhan, penyeksaan dan kemusnahan yang sedang dijalankan oleh bala tentera Israel di Gaza. 

Kemunculan penganut dan Agamawan  Yahudi yang menentang  Israel dan Zionis ini telah membuka mata dunia. Ini satu pencerahan yang memperkuatkan lagi hujah bahawa Palestin itu adalah bumi yang telah di jajah.

Tidak semua Yahudi Zionis.   Tidak semua Zionis Yahudi.

Di Eropah  Gaza telah membuka  topeng demokrasi dan hak asasi manusia para politikus. Kini pemimpin politik di UK, di Perancis  atau di German  telah di paksa oleh rakyat untuk memilih : berdiri  bersama keadilan dan kemanusiaan atau  menyokong jenayah genosid.

Politikus German  masih terperangkap dengan rasa bersalah kerana membantai Yahudi di zaman Hitler. Justeru Canselor Friedrich Merz  menutup mata dari melihat apa yang di lakukan oleh Netanyahu terhadap  warga Palestin  adalah sama seperti apa yang telah di lakukan oleh Hitler terhadap Yahudi.

Di UK Perdana Menteri Starmer mendapat tekanan  kuat dari rakyat.  Para penyokong dan pengundi Parti Buruh yang berkuasa hari ini mahu UK mengambil sikap yang lebih tegas terhadap apa yang berlaku di Gaza.

Rakyat di UK telah turun berkali-kali ke jalan raya untuk memberi sokongan kepada Palestin dan juga memberi tekanan kepada kerajaan.  Jumlah bukan kecik anak – ada demonstrasi  yang hampir mencecah satu  juta -  warga berdemo di jalan raya.

PM Starmer melihat ombak besar di jalan raya pasti akan memukul peti undi. Justeru   Keir Starmer telah membuat langkah sandiwara cerdik dengan membatalkan beberapa penjualan senjata kepada Israel.
 
Sandiwara cerdik ini tidak meredakan kritikan dan tuduhan bahawa UK terlibat sama dalam jenayah genosid di Gaza. Lalu PM  Keir Starmer  menambah babak sandiwara dengan mengeluarkan sekatan terhadap dua menteri Israel termasuk Ben- Gvir – Menteri Dalam Negeri – yang mahu  membunuh semua warga Arab Palestin.
Sandiwara ini juga tidak meredakan kemarahan warga UK terhadap apa yang berlaku di Gaza. Malah sokongan terhadap Palestin makin melonjak.

Apa yang amat menarik ialah perubahan sikap generasi muda di Eropah   terutama di German. Mereka tidak lagi boleh di peras ugut dengan  cerita Holocaust. Mereka tidak lagi merasa bersalah dari  apa yang pernah di lakukan oleh Hitler terhadap Yahudi.

Di Amerika  cerita Holocaust, anti-Semit  dan genosid Yahudi  ini juga telah tidak menimbulkan apa-apa reaksi.  Ini satu perkembangan baru yang pasti membawa perubahan besar di Amerika dan di Eropah  dalam beberapa dekad yang akan datang.

Anak-anak muda dan mahasiswa yang berdemo anti Israel dan pro- Palestin ini pasti satu masa nanti akan mengendalikan garis politik negara.

Generasi yang merasa bersalah terhadap kejahatan Hitler  telah pupus. Kesah-kesah Holocaust dan  kem-kem tahanan Yahudi di Poland kini hanya menjadi bahan sejarah. 

Apa yang berlalu di Gaza hari ini telah menampakkan  jurang generasi.  Jurang ini  amat jelas sedang berlaku di Amerika.  Di lihat dengan jelas pengaruh kumpulan Zionis masih kuat ampuh dan tersusun dalam badan politik generasi tua di Amerika. 

Perang 12 Hari antara Israel dengan Iran ini telah membuktikan kepada dunia bahawa  badan politik Amerika masih lagi di dalam poket Israel. Malah ada pemerhati politik menyatakan bahawa Presiden Trump kini dalam poket Netanyahu.

Sapa dalam poket sapa untuk saya tidak penting. Apa yang penting ialah pengaruh kaum Zionis dalam badan politik Amerika. Dunia kini mengetahui bahawa mustahil akan ada Presiden Amerika yang berani mengkritik Israel.

Pengaruh Zionis dalam badan politik Amerika dilihat cukup ampuh dan tidak berganjak. 

Kali terakhir Presiden Amerika yang berani bersuara menentang keinginan Israel memiliki bom nuklear ialah Presiden Kennedy pada tahun 1962. Lihat apa yang terjadi kepada JFK. 

Berpuluh tahun Netanyahu merancang untuk menjerut Amerika agar menyerang Iran.   Mesir, Iraq , Syria, Libya dan PLO telah berjaya dimandulkan.  Negara Arab seperti Saudi, Moroko, Tunisia , Algeria dan Arab Telok semua telah lama  mandul. Mereka wujud kerana restu Amerika. 

Negara yang masuk masih tegak berdiri , bersuara,  bersenjata   dan bersedia menghadapi Zionis Israel hanya Iran. Justeru Iran wajib di mandulkan.

Dalam hitung politik Netanyahu jika Iran berjaya di mandulkan maka ini akan menjamin keselamatan Israel. Selagi  Republik Islam Iran wujud  maka keselamatan Israel tidak terjamin.  

Justeru Iran di serang pada Jumaat 13 Jun 2025. Sebelum Iran di serang pasti telah wujud lampu hijau dari Amerika. Pasti telah ada perancangan dan persetujuan. 
Labun politik naratif  untuk memukau dunia ialah Iran akan memiliki senjata nuklear. Media dunia seirama dan serentak mendendangkan lagu nuklear Iran. Ini sama seperti apa yang berlaku di Iraq pada tahun 2003 di zaman Saddam Hussein.

Justeru semua fasilitas nuklear Iran wajib di musnah.  Justeru Fordo, Nantaz dan Isfahan  menjadi sasaran utama.

Bila Trump mengarahkan pesawat B2 yang membawa bom  Bunker Buster sebarat 13.6 tan atau 13,600 kilo ini maka dunia hanya melihat.  Kelakuan dan jenayah yang dilakukan oleh Amerika dan Israel ini hanya menjadi berita.  Warga dunia hanya melihat apa kesudahan.

Tetapi perlawanan dari Iran menentang Israel telah memeranjatkan dunia.  Keupayaan Iran bertahan dan menyerang balas Israel hingga ke hari ini masih menjadi perbualan dunia.

Perang 12 Hari ini bukan hanya membuka mata dunia untuk melihat keupayaan persenjataan Iran. Malah Perang 12 Hari  gagal memandulkan Iran. Malah politik dunia telah berubah. 

Kemana arah perubahan politik dunia pasca Perang 12 Hari ? Apakah pengaruh Zionis telah luntur? Sila tunggu minggu hadapan. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL 
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/748038



Tiada ulasan:

Catat Ulasan