Jumaat, 11 Julai 2025

PENYOKONG TEGAR ANWAR IBRAHIM

 




Latheefa desak Anwar jawab dakwaan CJ tak disambung sebab ucapan

Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim tampil menjawab dakwaan mengejutkan bahawa Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat tidak disambung perkhidmatannya kerana satu ucapan yang disampaikannya di Malta.

“Secara ringkas, ini mencadangkan bahawa tempoh perkhidmatan Tengku Maimun tidak disambung walaupun rekodnya cemerlang, hanya kerana dia dikatakan mengkritik perdana menteri atas campur tangan dalam kehakiman. Jika benar, perkara ini amat serius,” katanya kepada Malaysiakini.

Latheefa mengulas kenyataan bekas menteri undang-undang Nazri Abdul Aziz yang mendakwa bahawa Tengku Maimun tidak disambung tempohnya kerana memberi gambaran bahawa perdana menteri mencampuri urusan pelantikan kehakiman.

Nazri merujuk ucapan Tengku Maimun di Malta dan memberitahu The Scoop bahawa ketua hakim negara itu sepatutnya menyampaikan kebimbangannya secara tertutup.

Latheefa menyifatkan kenyataan Nazri sebagai satu "pengakuan yang mengejutkan dan membimbangkan" serta menegaskan ia mesti diambil serius, lebih-lebih lagi kerana ia datang daripada individu yang rapat dengan Anwar dan tokoh penting dalam Umno.

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu menolak sekeras-kerasnya idea bahawa kenyataan seperti itu boleh menjadi alasan sah untuk tidak menyambung khidmat ketua hakim negara.

“Kepentingan awam dan sistem kehakiman sepatutnya menjadi keutamaan, bukannya perasaan tidak senang terhadap kenyataan dia mengenai campur tangan kehakiman di Malta atau mana-mana lokasi lain.

“Jangan kita lupa bahawa sebagai ketua institusi kehakiman, menjadi tanggungjawab Maimun untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman. Bagaimana ini boleh dijadikan alasan untuk tidak menyambung perkhidmatannya? Jika itulah alasannya, maka ia adalah satu pengkhianatan terhadap kepentingan awam.

“Sekarang setelah perkara ini diketahui umum, Anwar tidak boleh terus berdiam diri,” tegasnya.

Latheefa menggesa perdana menteri supaya memecahkan kebisuan dan menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengapa tempoh seorang ketua hakim negara yang dihormati serta berprestasi tinggi tidak disambung — menyebabkan, menurutnya, satu “kekosongan di puncak institusi kehakiman”.

“Sebenarnya, kita tidak perlukan ketua hakim negara sementara. Kita boleh mengekalkan ketua hakim negara sedia ada untuk enam bulan lagi, sekaligus memberikan masa yang cukup untuk melantik pengganti secara wajar dan teratur,” tambahnya.

‘Pertahankan yang tak dapat dipertahankan’

Dalam satu hantaran di platform X malam tadi, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mengkritik Nazri kerana “terpesong daripada isu sebenar” dan “mempertahankan sesuatu yang tidak boleh dipertahankan.”

“Walaupun bukan lagi menteri kabinet, dia kelihatan amat bersungguh-sungguh menjelaskan mengapa tempoh ketua hakim negara tidak disambung — walhal tiada siapa pun meminta lanjutan itu pada asalnya.

“Kita perlu perjelaskan fakta: Tengku Maimun tidak pernah memohon untuk kekal dalam jawatan.

“Apa yang menjadi kebimbangan masyarakat perundangan dan ramai rakyat Malaysia adalah kekosongan kepimpinan kehakiman yang luar biasa dan membimbangkan selepas persaraannya,” katanya.

Zaid mendakwa bahawa perkara yang paling mengejutkan rakyat ialah kegagalan perdana menteri bertindak terhadap pelantikan kehakiman tertinggi yang bakal tamat tempoh.

“Satu demi satu hakim kanan bersara tanpa pengganti tetap dilantik. Hari ini kita ada Ketua Hakim Negara sementara, yang kemudiannya pula perlu melantik Presiden Mahkamah Rayuan sementara. Ini belum pernah berlaku dan amat berbahaya. Ia menghakis kewibawaan kehakiman serta keyakinan rakyat.

“Persoalan pokok masih belum terjawab: Adakah Tengku Maimun dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) telah mengemukakan nama pengganti mengikut undang-undang? Dan jika ya, mengapa perdana menteri enggan bertindak?”

Berbanding menjawab isu teras ini, kata Zaid, Nazri dan yang lain cuba mengalih perhatian dengan menyalahkan ucapan Tengku Maimun di Malta.

“Tetapi mari kita jujur – apakah pilihan yang dia ada? dia dipaksa berundur tanpa pengganti yang sesuai, dan dunia perlu tahu bahawa prinsip kedaulatan undang-undang di Malaysia kini berada dalam keadaan goyah.

“Ini bukan soal peribadi atau ucapan. Ini adalah soal tanggungjawab perundangan dan perlembagaan. Penolakan perdana menteri untuk bertindak terhadap cadangan SPK — jika benar — adalah satu pelanggaran undang-undang dan tamparan hebat kepada kebebasan kehakiman.

“Putaran naratif oleh Nazri tidak akan menyelamatkan Anwar. Fakta itu sendiri sudah cukup jelas,” katanya.

‘Ucapan tidak sesuai’

Dalam ucapannya semasa Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta pada April lalu, Tengku Maimun berkata menghapuskan penglibatan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman boleh membantu mengurangkan persepsi mengenai campur tangan politik dalam badan kehakiman.

Dia mendedahkan terdapat cadangan terkini untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 serta Perlembagaan Persekutuan bagi mengeluarkan peranan perdana menteri daripada proses pelantikan.

“Perubahan seperti ini, pada pandangan saya, akan memperkukuhkan sifat berkecuali dalam proses pemilihan, memastikan pelantikan kehakiman benar-benar berdasarkan merit dan bebas daripada persepsi pengaruh politik,” katanya.

Sebagai maklum balas, Nazri mengkritik kenyataan itu dan menyifatkannya sebagai tidak sesuai, terutamanya ketika Anwar sedang giat mengadakan lawatan luar negara untuk menarik pelaburan asing.

Nazri juga menolak pandangan bahawa ucapan Tengku Maimun bersifat umum dan bukan ditujukan kepada Anwar secara khusus.

“Anda adalah Ketua Hakim Negara yang sedang berkhidmat. Anwar adalah perdana menteri yang sedang berkhidmat. Maka, anda pasti merujuk kepadanya,” katanya.

Dia turut mengingatkan Tengku Maimun sebelum ini pernah menekankan kepentingan hubungan harmoni antara tiga cabang utama negara: kehakiman, eksekutif dan legislatif.

Nazri berkata mengekalkan hubungan yang seimbang antara badan kehakiman dan cabang kerajaan lain adalah penting dalam mempertahankan kebebasan kehakiman sambil menghormati mandat demokrasi Parlimen.

Dia turut berkata Tengku Maimun sendiri pernah menegaskan tiada persaingan kuasa antara ketiga-tiga cabang kerajaan dan bahawa perlembagaan adalah yang tertinggi di Malaysia.

“Dia sepatutnya mengikut nasihat yang terkandung dalam ucapannya sendiri,” katanya lagi.

DULU LATIFAH

PEGUAM ANWAR

PENYOKONG ANWAR

AMIN

KINI NAMPAK

KEKARUTAN

 ANWAR

AMIN

LATIFAH KINI

BAGUN MELAWAN

MADA FAKA

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan