Penceramah disiasat polis kes tipu pembinaan sekolah agama
KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor membuka dua kertas siasatan berhubung kes penipuan pembangunan sekolah agama yang melibatkan kerugian sebanyak RM140,000.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan susulan dua laporan polis yang dibuat di Gombak dan Shah Alam.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa adalah wanita tempatan berumur awal 40-an telah mengenali suspek iaitu seorang penceramah bebas berusia lingkungan 30-an pada tahun 2020.
Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu telah memperdaya mangsa yang juga yang pemilik sebuah syarikat untuk mendeposit sejumlah wang kononnya bagi pembinaan sekolah agama yang dipercayai terletak di Selangor.
Mangsa pertama telah melakukan tiga transaksi dengan memasukkan wang berjumlah RM60,000 hingga September 2020 manakala mangsa kedua telah membuat bayaran berjumlah RM80,000 pada 2019.
“Modus operandi suspek adalah dengan menggunakan nama institusi agama untuk meraih kepercayaan mangsa sehingga menyerahkan wang kepada suspek bagi pembinaan sekolah.
“Mangsa berasa telah ditipu dan mengalami kerugian RM140,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Hussein menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap permintaan sumbangan atau pelaburan yang tidak dapat disahkan, khususnya yang melibatkan institusi agama dan pendidikan.
Orang ramai juga dinasihat untuk tidak membuat transaksi kewangan melalui akaun peribadi atau syarikat yang tidak berdaftar secara sah.
Sekiranya mereka mengesyaki sebarang aktiviti atau panggilan yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NRSC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan. -

Tiada ulasan:
Catat Ulasan