Jakim siasat program motivasi wanita menari bogel, 'mandi suci'
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan terhadap sebuah program motivasi rumah tangga yang dikenali sebagai eHATI, susulan dakwaan ia membawa anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff memaklumkan pihaknya bersama pihak berkuasa agama negeri Selangor akan menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan maklumat yang diperoleh adalah jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan diambil.
"Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat," ujarnya.
Menurutnya, kerajaan Madani melalui Jakim secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri, tegas dalam menangani sebarang isu yang melibatkan kepentingan umat Islam khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam.
Hakimah turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar tidak terpengaruh dengan fahaman dan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.
"Orang ramai disaran untuk sentiasa bekerjasama dengan Jakim dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat serta informasi berkaitan isu-isu seperti ini dalam menangani sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak,” katanya lagi.
Terdahulu, satu hantaran di Facebook mendakwa program yang diadakan khas untuk peserta wanita di Shah Alam itu melibatkan pengasas dan fasilitator program berkenaan menanggalkan pakaian mereka.
Menurut hantaran tersebut, pengasas program itu pada mulanya masuk ke dewan dengan pakaian seksi sebelum menanggalkan pakaian dalam dan menari bersama ahli-ahli yang lain.
Peserta yang hadir juga diminta meminum sejenis air tidak diketahui yang dikatakan menyebabkan perubahan emosi dan rasa ghairah.
Hantaran berkenaan juga mendakwa pengasas program itu kemudian menari bersama seorang lagi ahli wanita yang lain dalam keadaan mengghairahkan.
Selepas sesi menari itu tamat, seorang model yang tampil tanpa seurang benang diperkenalkan di hadapan peserta untuk satu demonstrasi yang dinamakan sesi rebirth (lahir semula) dan mandi suci.
Peserta lain juga didakwa diminta menyertai aktiviti “mandi suci” dan "rebirth" berkenaan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan