'Popular Forces', mahu rampas kuasa, ganti Hamas di Gaza
BAITULMAQDIS: Sebuah kumpulan bersenjata Palestin yang dianggotai kira-kira 300 orang, muncul di Gaza dengan matlamat membebaskan wilayah itu daripada cengkaman pejuang Hamas, dengan sokongan Israel.
Kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai 'Popular Forces' itu beroperasi di timur Rafah di bawah pimpinan Yasser Abu Shabab, seorang lelaki Badwi dalam lingkungan usia 30-an.
Dia pernah dipenjarakan oleh Hamas atas kesalahan jenayah sebelum dibebaskan susulan serangan 7 Oktober 2023.
Menurut kenyataan eksklusif kepada Euronews, kumpulan Abu Shabab, yang tiada kaitan dengan kumpulan pelampau Al-Shabaab di Somalia, ditubuhkan pada Jun 2024.
'Popular Forces', yang turut dikenali sebagai Perkhidmatan Anti-Keganasan, menggambarkan diri mereka sebagai 'sukarelawan rakyat biasa' yang melindungi bantuan kemanusiaan daripada 'penjarahan, rasuah dan kecurian terancang' oleh kumpulan berkaitan Hamas.
"Kami bukan pengganti kepada negara, mahupun pihak dalam sebarang konflik politik.
"Kami bukan pejuang profesional ... dan tidak menjalankan taktik peperangan gerila," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan kepada Euronews.
Hamas didakwa membunuh ahli 'Popular Forces' sebagai langkah menunjukkan kekuatan terhadap kumpulan pesaing meskipun berdepan serangan ketenteraan berterusan Israel.
"Hamas membunuh lebih 50 sukarelawan kami, termasuk ahli keluarga Komander Yasser, ketika kami mengiringi konvoi bantuan," kata jurucakap 'Popular Forces'.
Sebelum ini, Hamas menolak sekeras-kerasnya tuduhan mengambil untung daripada peperangan dan mencuri bantuan kemanusiaan, tuduhan sama yang turut dilemparkan oleh Israel dan kini disuarakan oleh 'Popular Forces'.
Sementara itu, Yasser Abu Shabab mendedahkan kumpulannya kini 'menyelaraskan' operasi dengan tentera Israel di Rafah.
Dalam satu temu bual pada Ahad bersama penyiar awam Israel, KAN (saluran Arab), Abu Shabab menyatakan kumpulannya bekerjasama dengan Israel dalam bentuk 'sokongan dan bantuan'.
Jika benar, kerjasama itu berlaku, ia menunjukkan usaha terbaru Israel untuk membentuk kerjasama tempatan bagi mencabar dominasi Hamas di Gaza.
Satu pakatan lebih besar membabitkan Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS) turut dilaporkan sedang merangka alternatif kepada pemerintahan Hamas.
Namun, strategi itu masih menimbulkan keraguan dalam kalangan pihak tertentu.
Abu Shabab telah lama berdepan tuduhan daripada ahli keluarganya sendiri, termasuk seorang bekas ahli kumpulan, yang mendakwa dia terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan dadah dari Mesir dan Israel ke Gaza melalui lintasan serta terowong sebelum peperangan.
Dia berada di penjara ketika serangan 7 Oktober 2023, namun dibebaskan bersama tahanan lain apabila perang besar-besaran tercetus, menurut saudara mara yang enggan dikenali.
Seorang bekas pegawai kanan unit anti keganasan Mossad, yang bercakap kepada Euronews secara sulit, mengakui latar belakang jenayah kumpulan itu, namun menyifatkan sokongan terhadap mereka sebagai satu keperluan taktikal.
"Mereka bukan pilihan jangka panjang untuk Gaza, saya anggap mereka penjenayah, tetapi kadangkala kita perlu bekerjasama dengan penjenayah untuk menumbangkan Hamas," katanya kepada Euronews. – AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan