2 beradik lelaki di India 'bermadu', kahwini wanita sama
SHIMLA: Dua beradik lelaki di pedalaman India berkahwin dengan wanita yang sama, sekali gus mencetuskan kritikan dalam kalangan kumpulan hak asasi wanita susulan foto perkahwinan mereka tular di media sosial.
Pada 12 Julai lalu, pengantin lelaki, Pradeep dan Kapil Negi berkahwin dengan Sunita Chauhan dengan majlis berlangsung selama tiga hari, disaksikan ratusan penduduk kampung dan saudara mara di negeri Himalaya, Himachal Pradesh.
Dalam majlis itu, ketiga-tiga mereka yang juga daripada suku Hatti mengelilingi api yang dianggap suci sambil penduduk kampung menyanyikan lagu rakyat.
Tradisi poliandri (wanita berkahwin dengan lebih daripada seorang lelaki) diharamkan di India, namun tetap diamalkan beberapa puak, termasuk di wilayah Himalaya, yang membolehkan beberapa tradisi kuno itu diteruskan.
"Kami mengikut tradisi secara terbuka kerana berbangga dengannya dan ia adalah keputusan bersama," kata Pradeep, yang dipetik agensi berita Press Trust of India.
Abangnya Kapil menambah: "Kami memastikan isteri mendapat sokongan, kestabilan dan kasih sayang sebagai sebuah keluarga yang bersatu".
Seorang daripada adik beradik lelaki itu adalah kakitangan kerajaan manakala seorang lagi bekerja di luar negara.
Mengikut adat, giliran bersama isteri adalah mengikut jadual yang dipersetujui semua pihak dan keluarga membesarkan anak-anak secara bersama.
Abang sulung pula diiktiraf bapa yang sah dan semua anak akan membawa namanya.
Persatuan Wanita Demokratik Seluruh India (AIDWA) iaitu sebuah kumpulan hak wanita, mengutuk perkahwinan itu.
"Tindakan eksploitasi wanita seperti ini... bertentangan dengan hak asasi seorang wanita," kata Setiausaha Agung AIDWA, Mariam Dhawale kepada media tempatan.
Sekitar 300,000 ahli suku kaum Hatti tinggal di perkampungan kecil di daerah terpencil Sirmaur di Himachal Pradesh.
Ahli Parlimen tempatan, Harshwardhan Singh Chauhan, mempertahankan amalan itu dengan berkata, poliandri sejak sekian lama menjadi tradisi orang Sirmaur.
"Kami mempunyai undang-undang adat untuk melindungi poliandri," katanya kepada pemberita, selepas gambar perkahwinan terbabit tular di media sosial. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan