Kes rakyat Malaysia 'dibakar' di Bangkok, mangsa sempat berbual dengan penyerang
BANGKOK: Dua pelancongan warga Malaysia yang dibakar lelaki Thailand dilaporkan sempat berbual dengan penyerang mereka sebelum kejadian.
Menurut saksi, kedua-dua mangsa dilihat berbual dengan lelaki berkenaan sebelum beredar dan kemudian duduk di tangga pusat beli-belah.
Lelaki yang dikenali sebagai Warakorn itu kembali menghampiri kedua-dua mangsa dan menuang 'thinner' atau bahan pencair sebelum menyalakan api menggunakan pemetik api miliknya ketika mereka cuba melarikan diri.
Orang ramai yang berada di tempat kejadian segera campur tangan dan menahan penyerang sehingga polis tiba.
Ketika disoal siasat di Balai Polis Lumpini, Warakorn mengaku melakukan serangan itu dan menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan mangsa.
Lelaki berkenaan mengaitkan tindakannya kepada tekanan teruk akibat menganggur dan kelaparan.
Bekas peninju itu sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi baru sahaja diberhentikan dan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu.
Suspek memberitahu polis bahawa dia tidak makan pada hari kejadian, yang meningkatkan tekanan dan mendorongnya melakukan serangan tersebut. Ujian dadah terhadap suspek didapati negatif.
Polis kini bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia bagi membantu siasatan serta membincangkan langkah sokongan.
Kedua-dua pelancong Malaysia kini berada dalam keadaan stabil, dan pihak berkuasa merancang untuk mengambil keterangan tambahan daripada mereka sementara siasatan diteruskan. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan