Gabungan Longgar Pembangkang, Pencabar Dominasi Anwar – Tun Faisal
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 25 – Kejayaan Muhyiddin Yassin mengumpulkan 12 parti di luar kerajaan membuktikan Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang yang tersusun, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail.
Beliau berkata, ia juga platform undi protes terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Permuafakatan pembangkang ini membuktikan bahawa PN di bawah kepimpinan Muhyiddin sedang mengorak langkah politik yang tersusun, dengan strategi menyatukan seramai mungkin parti dan rakyat di atas isu bersama.
“Ia bukan sahaja satu platform undi protes terhadap Anwar, PH-BN, malah simbol kepada kebangkitan politik rakyat yang mahukan pembetulan, perubahan dan pembaharuan dalam negara,” katanya, dalam kenyataan.
Katanya, itu adalah langkah strategik apabila mendapatkan persetujuan 12 pemimlin parti pembangkang membentuk sebuah gabungan longgar yang dilihat mampu menyatukan suara rakyat serta menggerakkan undi protes terhadap kelemahan pentadbiran Anwar.
“Gabungan ini dilihat akan menjadi blok pembangkang paling inklusif dalam sejarah moden Malaysia, dengan potensi untuk menggerakkan undi protes rakyat yang kecewa dengan kegagalan janji reformasi kerajaan.
“Ia juga bagi mengimbangi kelebihan majoriti dua pertiga PH-BN di Parlimen melalui kuasa naratif dan mobilisasi rakyat,” katanya.
Selain itu, Tun Faisal berkata, gabungan longgar itu juga bakal menjadi pencabar serius kepada dominasi politik Anwar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak. @politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan