Gencatan senjata di Gaza, Israel kaji maklum balas Hamas
KAHERAH: Israel sedang meneliti maklum balas Hamas terhadap cadangan gencatan senjata 60 hari di Gaza yang turut merangkumi pembebasan separuh tebusan Israel, menurut dua pegawai negara itu semalam.
Cadangan yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu turut membabitkan pembebasan 200 banduan Palestin, wanita dan kanak-kanak tertentu sebagai pertukaran untuk 10 tebusan yang masih hidup dan mayat 18 tebusan.
Antara lain dalam cadangan itu termasuklah membabitkan pengunduran separa tentera Israel yang kini menguasai 75 peratus Gaza serta kemasukan lebih banyak bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dihuni 2.2 juta penduduk dan semakin berdepan kebuluran.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Majed Al Ansari berkata perjanjian gencatan senjata 60 hari itu akan menjadi asas ke arah perjanjian menyeluruh untuk menamatkan perang.
Rancangan Israel untuk menguasai Bandar Gaza yang terletak di tengah wilayah Palestin itu menimbulkan kebimbangan antarabangsa dan dalam kalangan kira-kira sejuta penduduk yang tinggal di situ.
Di lapangan, tiada tanda gencatan senjata akan dicapai kerana sehingga kini masih terdapat tembakan, serangan kereta kebal dan serangan udara Israel yang membunuh sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin hari ini.
Kereta kebal Israel dilapor berjaya menguasai kawasan Zeitoun, sebuah kejiranan di pinggir timur Bandar Gaza dan meneruskan serangan ke kawasan berdekatan Sabra sehingga mengorbankan dua wanita dan seorang lelaki, kata petugas perubatan.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan berkata puluhan penduduk terperangkap di rumah akibat serangan itu. Tentera Israel berkata mereka sedang menyiasat laporan berkenaan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijangka mengadakan perbincangan mengenai cadangan gencatan senjata dalam masa terdekat, manakala sumber Palestin yang dekat dengan rundingan itu menjangkakan keputusan dalam tempoh dua hari.
Pemimpin Hamas, Izzat El-Reshiq berkata cadangan gencatan senjata yang dipersetujui pihaknya adalah perjanjian sementara yang akan membuka ruang rundingan untuk menamatkan perang.
Sumber rapat dengan rundingan itu berkata, tidak seperti sebelum ini, Hamas menerima cadangan itu tanpa sebarang tuntutan tambahan. - AFP

Hamas hezbollah ayatollah mayatollah jentolak semua apa jadi TT? Garu teloq kira duit masyuuuuukkkkk jual senjata ka?Bila nak turun jalanraya? Masa trump mai sini ka?
BalasPadam