Terdapat kecederaan mencurigakan pada badan pelatih Palapes – Peguam
KUALA LUMPUR – “Terdapat kecederaan-kecederaan yang mencurigakan pada badan mangsa berkemungkinan menyebabkan kematian,” kata peguam, Naran Singh Ara Singh.
Penemuan tersebut berdasarkan proses bedah siasat kali kedua yang dijalankan hari ini ke atas jasad pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci bahagian kecederaan itu selepas bedah siasat dijalankan selama tujuh jam bermula jam 9 pagi dan berakhir 4 petang tadi.
“Bedah siasat telah dijalankan secara teliti, setiap badan diperiksa dan dilihat selain CT scan turut dilakukan ke atas mangsa.
“Setakat ini keputusan bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kecederaan-kecederaan yang mencurigakan di badan mungkin menyebabkan kematian Syamsul Haris dan siasatan lanjut diperlukan.
“Justeru, dengan hormatnya saya memohon Peguam Negara untuk membuat inkues dengan serta-merta selain Ketua Polis Negara mengambil berat terhadap kes ini,” katanya dalam sidang media di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.
Tambah beliau, tuntutan inkues dan siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kecederaan yang ditemukan pada badan Allahyarham Syamsul Haris.
“Tindakan ini (inkues) bagi mengetahui punca kecederaan dialami pada badan mangsa, yang pertama bagaimana kecederaan ini boleh berlaku? Kedua, siapa yang bertanggungjawab tentang kecederaan ini?
“Kita harap mereka bertanggungjawab dapat diheret tanpa mengira pangkat kerana ibu ini kehilangan anak berusia 22 tahun dan rakyat juga ingikankan keadilan terhadap kes ini.
“Kita juga berharap Peguam Negara akan menjawab permohonan inkues kita pada Selasa ini dan sekiranya tidak dilaksanakan, kita akan mohon kali kedua di Mahkamah Shah Alam,” jelasnya.
Ditanya mengapa bedah siasat kali pertama tidak dapat menemukan beberapa kecederaan yang didakwa pada badan, Naran Singh berkata, perkara itu perlu dapat dijawab oleh pakar.
“Saya tidak dapat jawab, ia perlu dijawab oleh pakar dan ini akan menjejaskan bedah siasat kali kedua.
“Sepanjang proses bedah siasat ini, ahli keluarga Allahyarham berpuas hati dengan bedah siasat kali kedua yang dijalankan,” jelasnya.
Sementara itu, van jenazah Allahyarham Syamsul Haris mula meninggal perkarangan IPFN pada jam 5.15 petang untuk dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Rinching Hulu, Semenyih, hari ini.
Pada 25 Ogos lalu, Ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun,45, memfailkan afidavit baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyokong permohonan notis usul supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, 29 Julai lalu. –

Zaman pmx banyak kes gali
BalasPadam