Istana Sheikh Hasina jadi muzium revolusi
DHAKA: Istana rasmi kediaman bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Sheikh Hasina, kini sedang diubah menjadi muzium sebagai peringatan kekal terhadap pemerintahan yang dianggap autokratik.
Setahun selepas digulingkan, pihak berkuasa negara Asia Selatan berpenduduk sekitar 170 juta itu, berharap kompleks Ganabhaban itu mampu menyampaikan mesej kepada generasi akan datang.
Coretan grafiti yang mengecam yang pemerintahannya akan dibiarkan kekal di dinding-dinding istana.
"Kebebasan. Kami mahu keadilan," antara yang ditulis.
Pemerintahan Hasina menyaksikan pencabulan hak asasi manusia secara meluas, termasuk penahanan besar-besaran dan pembunuhan luar undang-undang terhadap pihak lawan politiknya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga 1,400 orang terbunuh antara Julai dan Ogos 2024 dalam usaha Hasina mempertahankan kuasanya yang gagal.
Hasina, 77, terus mengingkari arahan mahkamah untuk hadir ke perbicaraan terhadap tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan di Dhaka.
"Diktator. Hasina si pembunuh," antara puluhan grafiti yang kini dipelihara untuk tatapan masa depan.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Muhammad Yunus, 85, yang kini mengetuai kerajaan sementara sehingga pilihan raya diadakan awal 2026, berkata penukaran istana itu kepada muzium adalah untuk 'memelihara memori mengenai pemerintahan zalim dan kemarahan rakyat yang menggulingkannya'.
Mosfiqur Rahman Johan, 27, aktivis hak asasi manusia dan jurugambar dokumentari, menjadi antara ribuan yang menyerbu istana mewah itu – dengan ramai yang menari di bilik tidur Hasina, menjamu makanan dari dapurnya, dan berenang di tasik yang menjadi lokasinya memancing.
"Ia akan menggambarkan dan melambangkan trauma serta penderitaan masa lalu – dan juga semangat penentangan.
"Ganabhaban ialah simbol fasisme, simbol pemerintahan autokratik," katanya.
Kompleks itu dibina oleh bapa Hasina, Sheikh Mujibur Rahman, pemimpin pertama Bangladesh, dan Hasina menjadikannya kediaman rasmi semasa 15 tahun pemerintahannya.
Tanzim Wahab, kurator muzium yang masih dalam pembinaan itu, memberitahu AFP, pameran akan menampilkan artifak milik penunjuk perasaan yang terbunuh.
Kisah hidup mereka akan dipaparkan menerusi filem dan foto, manakala plak khas akan memaparkan nama-nama mangsa yang dibunuh oleh pasukan keselamatan sepanjang tempoh pemerintahan Hasina.
"Tujuan utama muzium ini adalah untuk melihat kembali – secara retrospektif – kepada tahun-tahun pemerintahan dan penindasan yang panjang.
"Itulah, saya percaya, antara aspek terpenting dalam projek ini," kata Wahab.
Tambahnya, muzium itu juga akan memuatkan animasi dan pemasangan interaktif, serta mendokumentasikan sel-sel kecil tempat lawan politik Hasina dipenjarakan dalam keadaan sesak dan menyeksakan.
"Kami mahu golongan muda… menggunakan tempat ini sebagai platform untuk berbincang tentang idea-idea demokrasi, pemikiran baharu, dan bagaimana untuk membina semula Bangladesh," kata Wahab.
Hasrat ini sejajar dengan janji kerajaan sementara pimpinan Yunus untuk memperkukuh institusi demokratik sebelum pilihan raya.
Tetapi usaha itu masih tergendala kerana parti-parti politik masih berebut kuasa.
Human Rights Watch (HRW) turut melihat cabaran besar yang dihadapi Yunus, menjelang ulang tahun pertama revolusi.
"Kerajaan sementara nampaknya terperangkap – cuba mengimbangi sektor keselamatan yang belum diperbaharui, pelampau agama yang kadangkala ganas, dan parti-parti politik yang lebih ghairah membalas dendam terhadap penyokong Hasina daripada melindungi hak rakyat Bangladesh," kata HRW.
Ketika istana Hasina sedang dipelihara sebagai muzium, penunjuk perasaan turut memusnahkan banyak simbol pemerintahannya yang lain.
Patung-patung bapa Hasina dan potret-potret mereka berdua dikoyak dan dibakar.
Penunjuk perasaan turut menggunakan jengkaut untuk merobohkan rumah mendiang Sheikh Mujibur Rahman – yang pernah dijadikan muzium oleh Hasina untuk menghormati ayahandanya.
"Bila diktator tumbang, semua pun musnah," kata Muhibullah Al Mashnun, antara mereka yang menyertai perobohan itu.
Pelajar berusia 23 tahun itu percaya dengan menghapuskan simbol-simbol itu, penting untuk membawa Bangladesh ke arah masa depan yang lebih baik.
"Itu semua lambang diktator," kata Mashnun.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan