Mampukah Keuntungan MAS Tanggung Kos Pembelian Boeing? – Soal Gerakan
KUALA LUMPUR, 5 Ogos 25 – Parti Gerakan mempersoalkan samada keuntungan MAS mampu menampung kos pembelian 60 buah pesawat Boeing seperti yang dinyatakan oleh Tengku Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia.
Presiden Gerakan, Dr. Dominic Lau berkata keuntungan MAS hanyalah sekitar RM 54 juta sedangkan kos pembelian 60 buah pesawat Boeing tersebut adalah sekitar RM81 bilion.
“Apabila perbelanjaan melebihi pendapatan, kerugian akan berlaku. Dan kerugian ini boleh menjejaskan operasi syarikat sehingga terpaksa diselamatkan kerajaan melalui subsidi atau penstrukturan semula, yang akhirnya tetap melibatkan wang pembayar cukai.
“RM81 bilion untuk pembelian pesawat bersamaan berapa kali ganda daripada RM54 juta keuntungan MAS?
“Melainkan kerajaan mengambil keputusan membenarkan semua syarikat milik kerajaan beroperasi secara bebas dan menanggung untung rugi sendiri, dan kerajaan tidak lagi memberi sebarang subsidi, maka barulah rakyat boleh yakin bahawa pembelian pesawat kali ini tidak melibatkan wang pembayar cukai. Katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Dominic menegaskan sekiranya kerajaan membuat keputusan dengan membenarkan semua syarikat milik kerajaan beroperasi secara bebas dan menanggung untung rugi sendiri, dan kerajaan tidak lagi memberi sebarang subsidi, maka barulah rakyat boleh yakin bahawa pembelian pesawat kali ini tidak melibatkan wang pembayar cukai.
“Melihat kepada perkembangan isu ini, kami menyimpulkan bahawa keputusan pembelian tambahan pesawat itu sebenarnya mencerminkan hakikat bahawa kerajaan Malaysia terpaksa akur terhadap tekanan Amerika Syarikat.
“Dari sudut makroekonomi, keputusan ini mungkin satu keperluan, tetapi dari sudut mikroekonomi, kebimbangan utama adalah sama ada keuntungan semasa dan masa depan MAS mencukupi untuk menanggung kos pembelian pesawat-pesawat ini. Ujarnya.
Terdahulu, Zafrul dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) bukanlah pembaziran wang cukai rakyat, sebaliknya merupakan keputusan perniagaan strategik yang dirancang lebih awal dan dibiayai menggunakan dana syarikat.
Namun, pelbagai pihak terus mempersoalkan keputusan pembelian tersebut dan mendakwa ia berkaitan dengan syarat AS untuk semakan semula Tarif Timbal Balas untuk Malaysia. @politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan