Rafizi Silap, Anwar Tidak Wajar Disamakan Dengan Pak Lah, Kata Zaid Ibrahim
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Bekas Menteri, Zaid Ibrahim, menyifatkan kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang membandingkan Anwar Ibrahim dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu analogi yang mengelirukan dan tidak tepat.
Menurut Zaid, meskipun Abdullah atau Pak Lah pernah dilihat sebagai pemimpin yang “underrated” dan kurang difahami, situasi serta legasi beliau jauh berbeza dengan Anwar.
“Pak Lah ialah reformis yang akhirnya lumpuh oleh tentangan dalam UMNO sendiri. Anwar pula sebaliknya, bukan mangsa sabotaj UMNO tetapi arkitek kepada kejatuhan parti itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Zaid menegaskan bahawa legasi Anwar tidak boleh disamakan dengan Pak Lah. Beliau mendakwa pentadbiran Anwar lebih terarah kepada penyusunan semula kuasa politik yang melemahkan keseimbangan negara.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk kegagalan menguruskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perpecahan politik Melayu, serta kedudukan Petronas yang semakin terjejas akibat pertelingkahan politik dan undang-undang.
“Pak Lah akan dikenang sebagai Perdana Menteri yang terlalu lemah pada masanya. Anwar pula mungkin diingati sebagai Perdana Menteri yang terlalu rakus sehingga merosakkan kestabilan negara. Sejarah tidak akan mengampunkan percubaan menyamakan keduanya,” tegas Zaid.
Dalam episod terbaru podcast Yang Berhenti Menteri, Rafizi Ramli membuat perbandingan antara bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Bagi Anwar, semoga senario kes terbaik untuknya, apa pun yang berlaku, satu hari nanti orang akan ingat dia seperti (orang ingat) Abdullah.
“Maksudnya (mereka akan berkata), ‘sebenarnya, mungkin kita tidak cukup berterima kasih atas jasanya’,” kata Rafizi. @politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan