Tentera Israel mula pindahkan penduduk ke selatan Gaza
BAITULMAQDIS: Tentera Israel hari ini mula membekalkan penduduk Gaza dengan khemah dan kelengkapan perlindungan lain sebelum memindahkan mereka ke bahagian selatan wilayah itu bagi 'memastikan keselamatan mereka'.
Ini susulan kawasan yang mereka duduki sekarang diisytiharkan sebagai zon pertempuran, di mana serangan besar-besaran dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.
Langkah itu diumumkan beberapa hari selepas Israel menyatakan hasrat melancarkan serangan baharu untuk menguasai utara Bandar Gaza, pusat bandar terbesar di wilayah berkenaan.
Rancangan itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai nasib penduduk di kawasan padat berpenghuni, yang didiami kira-kira 2.2 juta orang.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hari ini berkata sebelum melancarkan serangan, penduduk awam akan dipindahkan ke kawasan yang didakwanya sebagai 'zon selamat' dari Bandar Gaza yang digambarkannya sebagai kubu terakhir Hamas.
Tentera Israel memaklumkan, kelengkapan perlindungan itu akan dihantar melalui lintasan Kerem Shalom di selatan Gaza oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa lain selepas diperiksa oleh pegawai Kementerian Pertahanan.
Bagaimanapun, setakat ini PBB belum mendapat sebarang arahan lanjut mengenai pengumuman Israel itu.
Sebaliknya, PBB pada Khamis lalu memberi amaran ribuan keluarga sudah pun berdepan krisis kemanusiaan amat kritikal mungkin berada di ambang kehancuran sekiranya rancangan Israel di Bandar Gaza diteruskan.
Dalam pada itu, Pegawai Palestin dan PBB menegaskan tiada kawasan yang benar-benar selamat di Gaza termasuk di selatan wilayah itu, lokasi yang diarahkan Israel untuk penduduk Gaza berpindah.
Sehingga kini, tentera Israel enggan mengulas ketika ditanya sama ada kelengkapan perlindungan itu disediakan untuk kira-kira sejuta penduduk Bandar Gaza ketika ini dan sama ada lokasi pemindahan mereka di selatan Gaza adalah bandar Rafah, yang bersempadan dengan Mesir.
Semalam, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata rancangan serangan baharu itu masih dalam peringkat perancangan.
Sementara itu, kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam, sekutu Hamas, menyifatkan pengumuman tentera Israel itu 'sebahagian daripada serangan kejam untuk menawan Bandar Gaza' dan satu penghinaan terang-terangan terhadap konvensyen antarabangsa.
Bagaimanapun, pasukan Israel dilaporkan sudah mula meningkatkan operasi di pinggir Bandar Gaza sejak minggu lalu.
Penduduk di kejiranan Zeitoun dan Shejaia melaporkan serangan udara serta tembakan kereta kebal yang semakin intensif.
Mereka turut melaporkan berlaku letupan sepanjang hari akibat bedilan kereta kebal Israel ke arah rumah-rumah di bahagian timur kawasan berkenaan.
Jumaat lalu, tentera Israel memaklumkan pihaknya melancarkan operasi baharu di Zeitoun bagi mengesan bahan letupan, memusnahkan terowong dan membunuh pejuang Hamas di kawasan itu.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu menggantung semua visa pelawat untuk penduduk Semenanjung Gaza dengan alasan sedang menjalankan semakan terhadap proses pengeluarannya.
"Ini membabitkan kaedah yang digunakan bagi mengeluarkan sejumlah kecil visa sementara atas tujuan perubatan dan kemanusiaan sejak beberapa hari lalu," menurut jabatan itu dalam hantaran di platform media sosial X.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut hampir 61,900 nyawa rakyat Palestin, memusnahkan wilayah itu dan menolaknya ke ambang kebuluran. - AFP

Hari itu kata Hamas dah berjaya, Iran dah berjaya melumpuhkan Yahudi? Tak betul kah? Apa cerita berpusing juga TT ini? Kalau berjaya Yahudi takut patut dah blah ini berterusan sketsa sekarang apa sebenarnya berlaku? Nampak sangat Yahudi masih berupaya menghalau anak watan ke tempat lain kah kah kah
BalasPadam