Rakyat Indonesia kibar bendera lanun 'One Piece' simbol bantah dasar Prabowo
JAKARTA: Indonesia sedang giat membanteras penyebaran 'bendera lanun' yang dijadikan simbol bantahan politik menjelang sambutan hari kemerdekaan negara ini.
Bendera 'Jolly Roger' yang memaparkan tulang dan tengkorak dengan topi jerami itu - daripada siri animasi Jepun bertajuk 'One Piece' - semakin banyak dikibarkan di trak, kereta dan kediaman sekitar Indonesia.
Pegawai memberi amaran bahawa 'provokasi' itu - yang ramai melihatnya sebagai protes terhadap dasar Presiden Indonesia, Prabowo Subianto - tidak harus dikibarkan bersama bendera rasmi Indonesia.
"Saya secara peribadi mengibarkan bendera 'One Piece' kerana bendera merah dan putih (bendera rasmi Indonesia) adalah terlalu suci untuk dikibarkan di negara yang korup ini.
"Saya percaya wujud kebebasan bersuara di Indonesia tetapi amat terbatas. Menyuarakan pandangan anda menjadi semakin berbahaya kini.
"Jika kerajaan tidak takut untuk menindas rakyat sendiri, kami tidak perlu takut untuk melawan dasar yang teruk," kata pelajar universiti di wilayah Riau, Khariq Anhar, 24, kepada AFP.
Pegawai kerajaan menegaskan penggunaan bendera itu adalah cubaan untuk memecahbelahkan rakyat negara ini, malah memberi amaran ia berkemungkinan akan dilarang dikibarkan bersebelahan bendera rasmi atau ketika sambutan hari kemerdekaan ke-80 Indonesia pada 17 Ogos.
"Adalah penting untuk kita menahan diri daripada mencipta provokasi dengan simbol yang tidak relevan dengan perjuangan negara ini," kata Menteri Koordinator Bidang Politik dan Keamanan Indonesia, Budi Gunawan, dalam satu kenyataan, minggu lalu.
Menteri-menteri turut memetik peruntukan undang-undang yang melarang pengibaran simbol lebih tinggi daripada bendera negara, sebagai asas untuk sebarang hukuman.
Bawah undang-undang terbabit, kesalahan membabitkan niat untuk mencemar, menghina atau merendah-rendahkan bendera rasmi, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda hampir AS$31,000.
Pada Selasa lalu, Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi, dipetik berkata Prabowo tiada masalah dengan 'ekspresi kreativiti' tetapi dua bendera itu 'tidak harus diletakkan bersebelahan sehingga mengundang perbandingan', lapor media tempatan.
Sementara itu, pakar berpandangan rakyat Indonesia yang 'tidak gembira' kini menggunakan bendera berkenaan sebagai cara untuk menunjukkan perasaan antikerajaan secara tidak langsung.
Beberapa dasar ekonomi serta pertahanan bawah pentadbiran Prabowo dilapor telah mencetuskan kebimbangan mengenai demokrasi yang didakwa mundur ke belakang.
"Mengibarkan bendera 'One Piece' sebagai kritikan, adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara dan ia dijamin bawah Perlembagaan," kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan