Jumaat, 29 Ogos 2025

PROJEK ISRAEL RAYA


PROJEK

ISRAEL RAYA


Ketika tulisan ini di garap warga Gaza sedang menghadapi kebuluran. Mengikut kenyataan resmi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu di New York  lebih dari 1 juta warga Palestin di Gaza sedang kebuluran tanpa makanan.

Laman Al-Jazeera melapor pada 24 Ogos 2025: Angka kematian kini telah mencecah 60,000 orang. Majoriti terbunuh wanita dan kanak-kanak. Dari laporan tentera Israel  yang bocor menunjukkan hanya 17 peratus daripada mereka yang terbunuh di Gaza adalah pejuang gerila Palestin.

Pada ketika ini Zionis Israel sedang menggunakan makanan sebagai senjata.  Ini untuk memastikan seluruh Semenanjung Gaza di kosongkan. Perdana Menteri Netanyahu telah mengeluarkan arahan kepada bala tentera Israel untuk masuk dan menawan Gaza.
Netanyahu juga memberi arahan dan amaran kepada warga Gaza : Mereka wajib berpindah ke Selatan untuk selamat. Ke wilayah bersempadan dengan Mesir. Ini kerana bala tentera Israel akan masuk menyerang. 

Seramai 60,000 soldadu tambahan telah dipanggil untuk membantu projek menawan Gaza. Netanyahu masih menjual mantra : Tujuan pertama untuk menghapus Hamas. Tujuan Kedua untuk membebaskan  tawanan.

Secara resmi Pejabat Netanyahu telah membentang pelan  dengan  menyenaraikan lima objektif: melucutkan senjata Hamas, mengembalikan semua tawanan, memusnahkan seluruh Semenanjung Gaza, mengambil kawalan keselamatan wilayah itu, dan menubuhkan "pentadbiran awam alternatif yang bukan Hamas mahupun Pihak Berkuasa Palestin".

Projek tawan Gaza ini mendapat bantahan. Bantahan  dari  warga Israel  terutama dari keluarga tawanan. Suara bekas PM Israel Ehud Barak sendiri telah  menentang rancangan untuk menawan Gaza. Semua bantahan dan tentangan  telah  tidak di pedulikan oleh Netanyahu.

Malah Eyal Zamir Ketua Staf Am Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah tidak bersetuju dengan rancangan Netanyahu ini. Mengikut Jeneral ini  rancangan menawan Gaza ini amat bahaya ‘  walking into a trap – masuk ke dalam perangkap’.

Berkali-kali dan beribu-rubu warga Israel  telah turun ke jalan berdemo menentang projek Netanyahu. Kaum keluarga tawanan terus menuntut agar gencatan senjata dijalankan. Bebaskan semua tawanan. Netanyahu tidak ambil pot.

PBB di New York, Macron di Paris, Starmer di London ,  Merz di Berlin  – malah hampir seluruh pemimpin dunia kecuali Trump dan Amerika sedang menentang dan mengecam apa yang sedang di lakukan oleh  Netanyahu dan Zionis Israel di Gaza.

Jika seluruh dunia kecuali Amerika yang menentang Israel – kenapa Netanyahu masih berdegil. Apa sebenarnya ada dalam perancangan Netanyahu dan kaum Zionis Sedunia. 

Jawabnya mudah : Netanyahu sedang merancang untuk  mendirikan apa yang di kenali sebagai Israel Raya.

Apa itu Israel Raya?

Israel Raya dalam bahasa Ibrani di panggil Eretz Yisrael HaShlema. Apa yang sedang dilakukan oleh Netanyahu pada ketika ini ialah untuk mewujudkan Israel Raya.

Hari ini dunia mungkin tidak menyedari bahawa dalam peta dunia belum ada tanda sempadan negara Israel yang jelas. Semenjak tahun 1948 sempadan Israel berubah-ubah. 

Pada tahun 2017 Ibu Kota Israel pindah dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.  Langkah ini di persetujui oleh Trump yang ketika  itu menjawat kerusi Presiden untuk kali pertama.

Israel wujud pada tahun 1948. Ini adalah  hasil dari keruntuhan  Empire Ottoman pada tahun 1922 satelah kalah dalam Perang Dunia Pertama. Kalah perang maka wilayah Empayar  Ottoman  di Bumi Arab di racik dan di bagi-bagi.  

Hari ini sempadan yang kita lihat di bumi Arab akan di rujuk sebagai Sempadan Sykes-Picot. Ini adalah hasil kerja  Sir Mark Sykes dari UK  dan François Georges-Picot dari Peranchis.   Dua diplomat ini  membuat  perunding Perjanjian Sykes-Picot pada Mei 1916.

Ini adalah  Perjanjian rahsia antara Great Britain dan Perancis ini semasa Perang Dunia Pertama. Perjanjian ini  membahagikan wilayah Arab dari Empayar Ottoman yang runtuh kepada zon pengaruh British dan Perancis.

Bumi Arab dan penduduk tempatan di pecah-pecah. Ada wilayah Sunni, ada wilayah Syiah, ada wilayah Kurdish. Ini untuk memastikan  ketidakstabilan dan konflik berterusan hingga ke hari ini di Timur Tengah.
Dari perjanjian ini muncul Deklarasi Balfour 1917 yang menjadikan Palestin di bawah mandat Inggeris. Lebanon dan Syria di bawah naungan Peranchis.

Deklarasi Balfour ialah kenyataan umum yang dikeluarkan oleh Kerajaan British pada tahun 1917 semasa Perang Dunia Pertama. Deklarasi ini  mengumumkan sokongannya UK terhadap penubuhan "rumah negara untuk orang Yahudi" di Palestin.

Tetapi idea tentang Israel Raya telah lama wujud dalam  ajaran kitab suci Agama Yahudi. Kitab suci Torah ada menyebut bahawa Bani Yahudi  adalah Bani Pilihan Tuhan dan Israel adalah Tanah Perjanjian yang telah dijanjikan  oleh Tuhan kepada Bani Israel. 

Ini merujuk kepada kawasan di Levant yang Tuhan pilih untuk dikurniakan, melalui siri perjanjian dengan Nabi Ibrahim, keluarga dan keturunan Nabi Ishak.

Tanah Perjanjian ini di tafsirkan  bermula dari semenanjung Sinai, Palestin,  Lebanon, Jordan, Syria hingga ke Sungai Dajlah – Iraq.

Inilah projek Israel Raya yang sedang di usahakan oleh Netanyahu.

Paling terbaru ialah tercakupnya wilayah baru Israel di  Syria. Pada tahun 1967 Israel telah menawan Bukit Golan. Kini sesudah kerajaan  Bashar al-Assad jatuh pada 8 Disember 2024  Israel  menceroboh dan  menawan wilayah Barat Daya Syria di sebelah Bukit Golan.

Gerakan Zionis Sedunia ini asalnya bukan berkiblatkan agama. Ianya ialah gerakan nasionalisma Yahudi yang sekular. Gerakan ini di asaskan  oleh Theodor Herzl (1860-1904) seorang wartawan Yahudi Austria-Hungary.

Pada tahun 1897 didirikan Pertubuhan Zionis Sedunia dengan cita-cita untuk mendiri negara bernama Israel. Malah satelah wujud Deklarasi Balfour tanah jajahan Inggeris seperti Uganda, Kenya,  Guyana, Madagascar termasuk Australia pernah  di cadangkan untuk menjadi bumi Israel.

Sebelum tahun 1948  di Palestin warga Yahudi tidak melebih 60,000 orang. Ini berkembang bertambah  ketika Palestin di bawah Mandat Inggeris. Selepas Perang Dunia Ke Dua penduduk Yahudi bertambah menjadi 630,00. Mereka adalah warga pelarian dari Eropah yang menjadi mangsa sasaran Hitler.

Hakikatnya Palestin adalah bumi Arab. Sama seperti Tanah Melayu dan Singapura sebelum Inggeris membawa masuk orang India dan China.

Hari ini Gerakan Israel Raya semakin berkembang.  Mereka miliki pandangan ekstrem kanan yang mahu bukan saja menawan Gaza malah menjadikan Israel Raya satu realiti. Mereka berkumpul di bawah Parti  Otzma Yehudit – Kuasa Yahudi.

Pemimpin Otzma Yehudit ialah  Itamar Ben-Gvir yang kini menjadi Menteri Dalam Negeri  (KDN) dalam Kerajaan Perpaduan bersama Netanyahu dari Parti Likud.

Parti Kuasa Yahudi ini bukan sahaja mahu mengambil  Tebing Barat dan Baitulmuqadis  malah kini  tentera Israel   telah masuk dan mengambil beberapa kawasan di Selatan Lebanon. 

Apa yang dilakukan oleh Netanyahu , Ben Gvir dan  Israel telah mendapat satu lagi sokong kuat. Sokongan ini datang dari kumpulan  yang di kenali sebagai Zionis Kristian. 

Zionis Kristian ini juga memiliki fahaman ekstremis kanan yang bersalut dengan ajaran suci agama Kristian. Untuk penganut fahaman Zionis Kristian  ini  mereka  sedang menunggu Kedatangan Kali Kedua Nabi Isa. Tempat yang akan dituju oleh Nabi Isa ialah Juruselam atau Baitulmuqaddis. 

Justeru  kaum Yahudi Zionis dan Kristian Zionis ini sedang menjadi benteng yang amat kuat untuk mempertahankan apa sahaja yang di lakukan  oleh Israel dan Netanyahu.

Dari  mana datangnya kekuatan Kristian Zionis ini?

Jawabnya mudah. Kristian Zionis ini terdapat diseluruh dunia. Mereka yakin dan percaya bahawa Nabi Isa akan datang sekali lagi ke dunia. Justeru mereka wajib membuat persediaan.

Kekuatan hakiki  politik mereka  wujud dalam badan politik  Amerika.

Seyogia  di beritahu bahawa kumpulan Kristian Zionis inilah yang membawa undi paling banyak untuk memastikan Donald Trump masuk sekali lagi ke Rumah Putih.

Kumpulan Kristian Zionis ini bekerja sama  dengan intim sekali dengan  Yahudi Zionis di Amerika. Yahudi Zionis di Amerika yang kaya raya memberi dana yang lumayan untuk Kristian Zionis bergerak  dalam parti Politik Republikan dan juga Demokrat.

Kristian Zionis dan Yahudi Zionis inilah yang pada ketika  ini sedang mendominasi politik  Trump dan politik Amerika.  Dan juga politik dunia.

Justeru kita jangan hairan bila melihat bagaimana Trump berusaha segala daya untuk memastikan akan ada perundingan damai antara Rusia dan Ukraine. Malah Trump menalipon Putin dan Zelensky. Perjumpaan Trump dengan Putin di Alaskan adalah bukti  usaha damai yang sedang diusahakan oleh Trump.

Tetapi mata Trump terutup dan buta tidak melihat apa yang sedang berlaku di Gaza.   Trump tidak pernah menyebut tentang kebuluran, jauh sekali untuk menyebut genosid yang sedang berlaku di Gaza.

Ketika Netanyahu sedang membulurkan warga Gaza  Trump senyap tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.  Mustahil Trump tidak melihat, tidak membaca atau tidak mendengar apa yang sedang berlaku di Gaza.

Dunia melihat Trump  cukup selesa dan santai dengan  tindak tanduk Netanyahu dan Israel.

Justeru kerana semua ini telah muncul desas desus bahawa Trump ini telah masuk ke dalam saku Netanyahu. Desas desus ini semakin kuat. Dilaporkan bahawa Netanyahu memiliki “sesuatu” yang boleh memegang Donald Trump.

Apakah Presiden Amerika ini sedang kena pau oleh Netanyahu? Sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/753720



Tiada ulasan:

Catat Ulasan