Junta Myanmar tamatkan darurat, umum pilihan raya Disember ini
ISTANBUL: Junta Myanmar hari ini mengumumkan penubuhan sebuah badan baharu bagi menganjurkan pilihan raya umum hujung tahun ini, sekali gus menamatkan perintah darurat yang dikuatkuasa sejak rampasan kuasa 2021, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media kerajaan.
Ketua Junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing turut melantik dirinya sebagai pemangku presiden dan mengeluarkan dekri membubarkan Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara.
Negara Asia Tenggara itu berada di bawah pemerintahan tentera sejak Februari 2021, selepas kerajaan pilihan rakyat yang dipimpin Parti Liga Demokrasi Kebangsaan digulingkan.
Sejak itu, Myanmar berada di bawah perintah darurat selama empat tahun.
Dengan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan baharu - yang turut dipengerusikan oleh Min Aung Hlaing – junta memaklumkan bahawa perintah darurat kini secara rasmi ditamatkan.
Beliau turut mengumumkan pembentukan kerajaan baharu yang akan diterajui oleh U Nyo Saw, seorang sekutu rapatnya.
"Pilihan raya akan diadakan pada Disember ini dan usaha akan dilakukan bagi memastikan semua pengundi yang layak dapat menunaikan tanggungjawab mereka," kata Min Aung Hlaing dalam satu majlis di Nay Pyi Taw pada Rabu. – BERNAMA

Tiada ulasan:
Catat Ulasan