AGC arah
kematian
KUALA LUMPUR — Susulan laporan siasatan kematian Zara Qairina Mahathir yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan.
AGC menerusi kenyataan berkata, keputusan untuk menjalankan inkues adalah , selaras peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
“Prosiding inkues ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.
Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” kata kenyataan itu, hari ini.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu.
Terdahulu, pelajar tingkatan 1 itu dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
Jumaat lalu, AGC mengarahkan kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Berikutan itu, pada 9 Ogos, kubur Zara Qairina digali semula dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat, sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama.
Kematian Zara Qairina mencetus perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Pada masa sama, pelbagai pihak mendesak pihak berkuasa membuat inkues kematian Zara Qairina.— BebasNews

Tiada ulasan:
Catat Ulasan