India, China bincang keamanan sempadan dan kerjasama dua hala
NEW DELHI: Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar dan Menteri Luar China, Wang Yi, mengadakan pertemuan semalam bagi membincangkan keamanan sempadan, isu perdagangan serta pertukaran dua hala, dalam usaha mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara.
Kata Jaishankar, perbincangan itu akan menyumbang kepada pembinaan hubungan yang stabil, kerjasama serta berwawasan ke hadapan antara India dan China.
"Kami telah mengadakan perbincangan yang produktif mengenai isu ekonomi dan perdagangan, ziarah, hubungan rakyat dengan rakyat, perkongsian data sungai, perdagangan sempadan, hubungan serta pertukaran dua hala," katanya.
Menurut kenyataan rasmi China, Wang berkata pertukaran dan dialog di semua peringkat antara kedua-dua negara telah dipulihkan secara beransur-ansur dan hubungan dua hala sedang kembali ke arah kerjasama.
Wang turut menggesa kedua-dua pihak, sebagai negara besar, untuk menjadi contoh kepada negara membangun lain dengan bersatu serta memperkukuhkan diri, menurut kenyataan itu.
China dan India, katanya, perlu mewujudkan pemahaman strategik yang betul, melihat satu sama lain sebagai rakan dan peluang, bukan sebagai pesaing atau ancaman.
Wang tiba di India semalam untuk lawatan dua hari, di mana beliau akan mengadakan pusingan ke-24 rundingan sempadan bersama Penasihat Keselamatan Negara India, Ajit Doval dan turut bertemu Perdana Menteri Narendra Modi.
Terdahulu, Jaishankar berkata membincangkan isu sempadan adalah sangat penting kerana asas kepada sebarang momentum positif dalam hubungan India-China ialah keupayaan untuk mengekalkan keamanan bersama di kawasan sempadan.
"Setelah melalui tempoh sukar dalam hubungan kita, kini kedua-dua negara berusaha untuk bergerak ke hadapan. Ini memerlukan pendekatan yang jujur dan konstruktif daripada kedua-dua pihak," kata Jaishankar kepada Wang dalam ucapan pembukaan beliau.
Jaishankar turut menekankan pentingnya kedua-dua negara mengundurkan pasukan tentera yang ditempatkan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan di Himalaya Barat sejak pertempuran maut pada 2020.
Lawatan Wang berlangsung hanya beberapa hari sebelum Modi melakukan lawatan ke China, yang pertama dalam tempoh tujuh tahun, untuk menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), sebuah kumpulan politik dan keselamatan serantau yang turut membabitkan Russia.
Hubungan antara dua kuasa besar Asia itu mula reda pada Oktober lalu selepas New Delhi dan Beijing mencapai persetujuan penting untuk menurunkan ketegangan ketenteraan di sempadan Himalaya, susulan pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dan Modi di Russia.
Hubungan dua hala kedua-dua negara merosot selepas pertempuran tentera di sempadan pada musim panas 2020 yang mengorbankan 20 askar India dan empat askar China.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan