Ops Sikaro hasil intipan, siasatan ke atas pihak bocor maklumat sensitif negara – Azam
PUTRAJAYA – Sindiket penyeludupan tembakau, rokok serta cerut yang ditumpaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Sikaro semalam berkait dengan kumpulan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan dalam Op Sohor, 14 Ogos lalu.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, ia merupakan salah satu daripada kejayaan SPRM dalam melakukan kerja-kerja pengintipan dan siasatan terhadap pihak tertentu yang terlibat membocorkan maklumat sensitif negara.
Ujarnya, SPRM tidak menunggu lama dalam mengambil tindakan terhadap pihak tersebut dan bekerjasama dengan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menggerakkan operasi itu.
“Kita tidak menunggu lama, dalam tempoh seminggu ke dua minggu kita bertindak di bawah satu task force yang diketuai SPRM.
“Kita cuba bertindak sebaik dan secepat mungkin dalam tindakan yang kita panggil procative action kerana kita tidak mahu ia dibiarkan terlalu lama sehingga akhirnya (mungkin) tiada tindakan diambil,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Menurut Azam, beliau sendiri mengarahkan supaya Ops Sikaro itu digerakkan dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam sindiket penyeludupan tersebut ditangkap.
Ini kerana, ujar beliau, sindiket penyeludupan itu menyebabkan kerugian besar kepada negara selain memenuhi harapan rakyat yang mahu melihat SPRM khususnya bertindak terhadap aktiviti penyalahgunaan kuasa tanpa mengira sesiapa pun yang terlibat.
Terdahulu, SPRM hari ini merakam percakapan 10 individu dan menyiasat 14 syarikat yang dipercayai terlibat sindiket penyeludupan tembakau, rokok serta cerut yang menyebabkan kerugian kepada hasil negara dianggarkan lebih RM250 juta bagi tempoh tahun 2020 hingga 2024.
Menurut sumber SPRM, sindiket itu dipercayai menggunakan taktik pengisytiharan palsu (misdeclaration) semasa proses import dengan menukar kod kastam atau butiran barang.
Katanya, rokok dan cerut yang diseludup itu disimpan di gudang persendirian sebelum diagihkan ke pasaran.
“Berdasarkan siasatan awal, kegiatan penyeludupan ini berkemungkinan turut didalangi segelintir penguat kuasa yang memberi laluan mudah untuk menyeludup barangan berkenaan di pintu masuk negara selain melindungi operasi gudang penyimpanan serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Bayaran kepada penguat kuasa terlibat dipercayai dibuat secara tetap melalui wang tunai atau orang tengah bagi mengaburi jejak kewangan,” katanya. –

Kes SPRM kena tapisan dahulu, ini kesalahan dilakukan oleh geng mana? Geng kita atau geng bukan kita? Bangsa apa agama apa? Siapa belakang siapa penaung siapa bekerja untuk siapa? Kes 47 pun lesap tak ada hal, kes ikan bilis naik mahkamah selepas tapisan berjalan, sambung kontrak tunjuk kerja jalan kepada penguasa kah kah kah kalau salah ampun maaf banyak-banyak kah kah kah
BalasPadam