UKRAINE - RUNDINGAN DAMAI
Trump sahkan Putin akan ke AS untuk pertemuan penting
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengesahkan beliau akan bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, di Alaska minggu depan.
Perkara itu dimaklumkan Trump menerusi platform media sosialnya, Truth Social, di mana beliau memaklumkan pertemuan berkenaan akan berlangsung Jumaat depan.
"Pertemuan yang dinanti-nantikan antara saya, selaku Presiden AS dan Presiden Vladimir Putin dari Russia, akan berlangsung Jumaat depan, pada 15 Ogos 2025, di Alaska.
"Keterangan lanjut akan dimaklumkan kemudian. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini!," tulisnya.
Semalam, Trump memberitahu media mengenai usahanya untuk menamatkan perang antara Ukraine dan Russia, dengan menyatakan bahawa beliau akan memulakan langkah itu dengan bertemu Putin.
Presiden itu mengesahkan bahawa beberapa rundingan berkaitan wilayah di Ukraine perlu diadakan untuk menamatkan perang yang berlarutan selama tiga setengah tahun.
"Ia rumit, tiada yang mudah. Sangat rumit, tetapi kita akan dapatkan sebahagiannya kembali dan sebahagiannya akan ditukar," katanya.
Trump berkata tumpuannya adalah untuk menamatkan perang dan menyelamatkan nyawa.
"Saya rasa jika kita tidak masuk campur, Ukraine dan Russia akhirnya akan terjerumus ke dalam Perang Dunia dan saya akan menghentikannya," katanya.
Sidang kemuncak itu akan menjadi pertemuan empat mata yang pertama antara pemimpin Russia dan AS sejak 2021.
Russia menyerang Ukraine pada 2022 selepas pertemuan dengan bekas Presiden AS, Joe Biden, yang enggan bertemu lagi dengan Putin selepas pencerobohan itu.
Pertemuan yang bakal diadakan ini juga menandakan kali pertama Putin atau mana-mana pemimpin Russia melawat AS sejak 2015, sejak beliau bertemu Presiden AS, Barack Obama di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada 28 September 2015.
Kenyataan Trump itu juga menyusul laporan daripada beberapa media AS yang menyatakan bahawa sebarang pertemuan bergantung kepada kesediaan pemimpin Russia untuk berunding secara langsung dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Namun, ketika diminta penjelasan berhubung perkara itu, Presiden AS itu menegaskan bahawa pertemuan antara Putin dan Zelensky bukanlah prasyarat bagi rundingan AS-Russia untuk diteruskan.
Trump terus berusaha mencari penyelesaian diplomatik bagi menamatkan perang di Ukraine, dengan mengeluarkan ancaman sekatan ekonomi sekiranya Putin terus mengabaikan Zelensky.
Sekiranya terlepas tarikh akhir rundingan damai itu, AS dijangka mengenakan tarif sekunder terhadap sekutu utama Russia, iaitu India dan China.
India malam tadi mengumumkan bahawa ia menggantung pesanan minyak dari Russia. - REUTERS
BERITA BAIK
BERUNDING
CARI JALAN
DAMAI
AMIN
CARA AMAT
MUDAH
AMIN
AMERIKA HENTI
HANTAR SENJATA
ESOK PERANG
PASTI TAMAT
KHALAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan