WUJUDKAN
DUA NEGARA
Setiap kali kita buka portal berita pasti berita tentang Gaza akan muncul. Hakikatnya hampir dua tahun ini berita tentang Palestin, Gaza dan Israel ini telah menjadi perbualan harian di seluruh dunia.
Paling akhir ialah suara Presiden Trump untuk pertama kalinya mengakui bahawa kebuluran sedang melanda Gaza. Kebuluran ini bukan kerana sawah kering padi tak jadi. Bukan kerana kemarau berpanjangan seperti yang berlaku di Ethiopia pada tahun 1983-1985. Tidak.
Bulur kini telah dijadikan senjata oleh Zionis Israel. Kebuluran sengaja diatur dan di rancang untuk memastikan warga Palestin di Gaza akan mati lapar.
Kita melihat gambar kanak-kanak kurus kering yang sedang didukung oleh Sang Ibu. Kita melihat video kanak-kanak terlentang di katil menunggu ubat yang tak kunjung sampai.
Kita melihat gambar puluhan kanak-kanak mengangkat mangkuk menunggu makanan di agih. Kita juga melihat klip video Abang dan Kakak mati ditembak ketika berkumpul beratur menunggu lori pembawa makanan.
Air mata kemanusiaan kita berliang.
Imej, gambar dan klip video ini mencabar kemanusiaan kita. Imej-imej ini sedang bertanya apakah kita masih memiliki jiwa dan perasaan. Atau kita telah lali dan hati kita telah beku seperti hati seorang Zionis.
Berat mata memandang berat lagi tangan kecil yang menadah mangkuk ayan menunggu bubur di curah.
Ketika tulisan ini digarap kita telah membaca berita awal bagaimana Presiden Emmanuel Macron dari Perancis akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. Kemudian kita terbaca juga Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer akan berbuat perkara yang sama. Paling akhir ialah kenyataan Perdana Menteri Canada Mark Carney yang juga akan mengiktiraf negara Palestin.
Pengiktirafan ini akan dilakukan di Persidangan tahunan Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York bulan September depan.
Ini satu perkembangan baru yang boleh dilihat positif.
Berita pengiktirafan negara Palestin ini telah di jawab oleh Netanyahu. Untuk Netanyahu dan Zionis Israel pengiktirafan ini disamakan sebagai memberi hadiah kepada pengganas Hamas.
Portal berita PBS pada 28 Julai 2025 telah melaporkan bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata tiada siapa di Gaza kelaparan: "Tiada dasar kebuluran di Gaza, dan tiada kebuluran di Gaza. Kami membolehkan bantuan kemanusiaan sepanjang tempoh perang memasuki Gaza - jika tidak, tidak akan ada warga Gaza."
Tidak ada kebuluran di Gaza ? Inilah contoh Zionis Yahudi Berhati Hijau. Bukan saja menafikan tiada kebuluran malah Netanyahu klim Israel membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.
Ini ialah tahap mohong yang satu dunia sedang menjadi saksi.
Kebuluran yang berlaku di Gaza ini telah membuka kembali naratif : Jalan Penyelesaian Dua Negara – Two States Solution. Dua negara ini maknanya : Satu negara bernama Israel dan satu lagi bernama Palestin. Dua negara merdeka berdaulat wujud sebelah menyebelah.
Untuk memahami konsep Dua Negara ini kita kembali melihat sejarah. Jalan Penyelesaian Dua Negara ini dimunculkan pada tahun 1993 melalui Perjanjian Oslo.
Perjanjian Oslo ini adalah inisiatif dari Presiden Bill Clinton. Presiden Amerika ini telah menemukan Pengerusi Gerakan Palestin (PLO) Yasser Arafat degan Perdana Menteri Yithak Rabin di Oslo Norway.
Perjanjian pertama ini, Deklarasi Prinsip (Oslo I), telah ditandatangani pada tahun 1993 dan mewujudkan rangka kerja untuk rundingan masa depan. Ini termasuk tadbir urus Palestin sendiri di bahagian Tebing Barat dan Gaza.
Perjanjian Kedua, Oslo II, ditandatangani pada 1995. Perjanjian Kedua ini menggariskan struktur tadbir urus sendiri Palestin dan pengunduran Israel secara berperingkat.
Melalui Perjanjian Oslo akan berlaku pengiktirafan bersama: Di Oslo I, Israel mengiktiraf PLO sebagai wakil rakyat Palestin, dan PLO mengiktiraf hak Israel untuk wujud.
Pada 4 November 1995 Perdana Menteri Israel Yithak Rabin yang bersalaman dengan Yasser Arafat di Oslo telah di tembak mati oleh seorang siswa ultra nasionalis. Penembak ini menentang niat pengiktirafan negara Palestin
Hakikatnya hingga ke hari ini Perjanjian Oslo ini dianggap gagal dengan terbunuhnya Yithak Rabin. Dalam masa yang sama askar Israel yang seharusnya berundur dari menduduki wilayah Palestin telah tidak melakukan apa-apa.
Jalan Penyelesaian Dua Negara ini hanya menjadi bualan. Malah tanah dan wilayah Palestin makin banyak di jarah dan di duduki olek Penempatan Baru Yahudi.
Di Tebing Barat semakin banyak kawasan penempatan baru muncul. Langkah menjarah dan menjajah Tebing Barat ini di klasifikasi oleh PPB sebagai satu jenayah. Tetapi dengan sokong Amerika kaum Zionis di Israel tidak ambil pot untuk menghormati pandangan dunia atau undang-undang antara bangsa.
Semenjak 1967 Israel telah membina kira-kira 160 penempatan yang menempatkan kira-kira 700,000 orang Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Pada ketika ini di anggarkan ada 3.3 juta rakyat Palestin tinggal bersama mereka.
Paling akhir pada 29 Mei 2025 – Portal BBC telah melaporkan Menteri Pertahan Israel Katz berkata : Sebanyak 22 penempatan baru yang telah diluluskan oleh kerajaan di Tebing Barat. Ini pengembangan wilayah terbesar dalam beberapa dekad.
Kenyataan Menteri Pertahanan Israel tentang penempatan baru ini berlaku ketika Gaza sedang diserang dan kebuluran menjadi senjata.
Penempatan atau merampas tanah Palestin secara meluas dilihat sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa. Tetapi Zionis Israel tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa.
Justeru isu penempatan dan penjarahan tanah Palestin ini adalah punca perbalahan antara Israel dan Palestin. Hakikatnya Palestin sedang di jajah oleh Israel. Menyokong Palestin adalah menyokong negara untuk membebaskan diri mereka dari penjajahan.
Dari pembacaan politik kasar – mengiktiraf kewujudan dua negara – ini adalah jalan penyelesaian yang tepat dan betul. Apakah ini dapat direalisasikan.
Untuk ini kita wajib kembali melihat sejarah. Israel hanya wujud pada tahun 1948. Israel wujud sebagai projek kuasa imperial Anglo-Amerika pasca Perang Dunia Kedua.
Kuasa imperialis Inggeris mengendur satelah Perang Dunia Kedua. Kuasa Inggeris digantikan oleh Amerika yang melihat Israel ini boleh dijadikan rakan strategik untuk mengawal Timur Tengah. Akhirnya Israel terus menjadi pangkalan tentera untuk kepentingan Amerika.
Pasca OPEC dan krisis minyak 1974 - Israel semakin dilihat amat penting untuk menjadi polis dan mata-mata Amerika di Timur Tengah. Justeru saban tahun Israel mendapat imbuhan 3 bilion dolar dari Amerika. Ini bukan hutang. Ini duit tunai. Ini tidak termasuk bantuan senjata, logistik dan risikan dari Amerika.
Hari ini Israel bergantung kuat dengan Amerika. Dalam masa yang sama dunia sedang melihat bahawa badan politik Amerika juga terikat kuat dengan kepentingan Israel. Malah tanpa Amerika Israel tidak mungkin wujud. Dalam masa yang sama tanpa kaum Zionis dan Israel - Amerika juga tidak akan wujud.
Hubungan usus besar dengan usus kecil inilah yang terus memanjangkan krisis timur tengah. Hubungan ini juga yang terus memanjang pembantaian warga Palestin.
Ketika tulisan ini di garap belum ada laporan apa-apa kenyataan dari Rumah Putih. Presiden Trump belum memberi apa-apa komen tentang niat dan cita-cita Emmanuel Macron, Keir Starmer dan Mark Carney yang mahu mengiktiraf negara Palestin.
Persidangan tahunan PBB di New York akan berlaku dalam bulan September. Dalam masa sebulan ini pasti banyak perkara yang akan berlaku.
Dunia sedang menunggu apakah Trump akan bersama menerima cadangan Dua Negara yang sedang diajukan oleh Macron ,Starmer dan Carney .
Apakah Trump sebagai seorang Zionis akan menembak mati cadangan Penyelesaian Dua Negara ini. Apakah Trump akan bersedia menerima cadangan ini yang pada awalnya menetas dalam tangan Bill Clinton dari Parti Demokrat.
Sebelum Donald Trump membuat keputusan tentang Two States Solutionn mari kita lihat apakah Trump yang mengakui kebuluran wujud di Gaza akan melakukan sesuatu untuk menamatkan genosid di Gaza. Amin. (TT)
TULISAN INI
DISIRKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/751056






kenapa kau tak duduk sana dan boleh berdemo setiap jam? tanya je!
BalasPadam