Penunjuk perasaan Jakarta serbu, rompak rumah Ahli Parlimen
JAKARTA: Siri rusuhan di Jakarta kini berkembang menjadi apa yang digelar oleh penunjuk perasaan sebagai 'keadilan rakyat'.
Orang ramai yang marah mula memburu pegawai dan ahli parlimen, dengan sebahagian daripada mereka mendedahkan alamat kediaman rumah melalui gelombang doxxing (pendedahan maklumat peribadi secara dalam talian).
Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, adalah antara sasaran paling berprofil tinggi.
Pada awal pagi ini, kumpulan perusuh memecah masuk ke kediamannya di kawasan mewah Bintaro, di pinggir Jakarta.
Rakaman video menunjukkan penunjuk perasaan merosakkan harta benda dan membawa keluar barangan berharga, termasuklah barangan elektronik, lukisan, pakaian dan perabot.
"Saya terkejut kerana mereka memaksa masuk ke kawasan perumahan sambil menjerit dan mencetuskan kekecohan.
"Mereka mengambil barang dari rumah menteri. Saya takut mereka akan masuk ke rumah kami juga," kata seorang penduduk, Agung, seperti dilaporkan oleh Jakarta Globe.
Kemarahan awam terhadap Mulyani semakin memuncak selepas video palsu 'deepfake' muncul dan viral mendakwa beliau menyebut guru sebagai 'beban' termasuklah kenyataannya sendiri yang mengaitkan cukai dengan zakat Islam.
Ahli parlimen lain turut menjadi sasaran dengan rumah pertama yang diserbu adalah milik ahli parlimen Ahmad Sahroni, yang terkenal dengan koleksi kereta mewahnya.
Beliau sebelum itu dikatakan menyelar rakyat Indonesia yang menuntut pembubaran parlimen sebagai 'manusia paling bodoh di dunia' dan menggelar penunjuk perasaan sebagai 'kurang ajar'.
Rakaman dalam talian menunjukkan kumpulan perusuh memecahkan kereta 'sport' beliau dan mengagihkan barangan mewah yang dirampas, termasuk beg tangan Louis Vuitton dan jam tangan Richard Mille.
Ratusan penunjuk perasaan juga memecah masuk ke rumah seorang ahli parlimen bekas personaliti televisyen, Surya Utama yang lebih dikenali sebagai Uya Kuya manakala pelawak yang kini menjadi ahli parlimen, Eko Patrio.
Kucing Angora kesayangan Eko turut dilarikan oleh penceroboh manakala orang ramai memuat naik secara langsung rompakan itu.
Kedua-dua personaliti itu adalah ahli Parti Amanat Nasional, dikritik hebat selepas video mereka menari semasa sesi parlimen pada 15 Ogos, menjelang Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos, tersebar.
Tingkah laku itu didakwa sebagai tidak sensitif ketika rakyat sedang menghadapi kesulitan ekonomi. Mereka bagaimanapaun sudah memohon maaf semalam.
"Saya benar-benar memohon maaf dari lubuk hati saya kepada seluruh rakyat Indonesia," kata Surya.
Eko, yang kini berada dalam penggal keempat sebagai ahli parlimen juga berjanji akan 'lebih berhati-hati' dan menyatakan akan 'menjunjung sumpah sebagai wakil rakyat'.
"Saya sedar sepenuhnya situasi ini membawa kesakitan kepada negara, terutamanya kepada keluarga mangsa," katanya.
Namun, orang ramai tetap tidak takut sebaliknya mengadakan siaran langsung rompakan yang hanya menarik lebih ramai orang ke tempat kejadian.
Serbuan ke atas kediaman ini dilihat sebagai protes paling dramatik dalam kemarahan rakyat sejak ia bermula pada 25 Ogos lalu berikutan pakej elaun baru untuk ahli parlimen.
Pakej elaun baharu itu menetapkan Ahli Parlimen menerima 50 juta rupiah (RM15,000) sebulan untuk perumahan, 12 juta rupiah (RM3,600) makanan, dan tujuh juta rupiah (RM2,100) untuk pengangkutan, selain gaji asas sebanyak 6.5 juta rupiah (RM1,950).
Rusuhan memuncak pada Khamis selepas seorang seorang penunggang motosikal penghantar makanan berusia 21 tahun, Affan Kurniawan, maut digilis oleh kenderaan taktikal polis.
Susulan itu berlaku insiden kebakaran dan pertempuran penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa, dan kekacauan meluas ke beberapa wilayah.
Kelmarin, polis negara mengesahkan, tujuh pegawai melanggar kod etika profesional dan dikenakan tahanan khas selama 20 hari, berkuat kuasa pada hari yang sama.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan