Lelaki disyaki hantar daging babi ke Masjid Al-Istiqamah ditahan
SINGAPURA: Seorang lelaki Cina berusia 61 tahun telah ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam penghantaran bungkusan daging babi melalui pos dengan niat sengaja untuk melukai perasaan kaum seseorang.
Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata dalam satu kenyataan pada pagi 27 September mereka telah menerima maklumat mengenai satu bungkusan mencurigakan yang dihantar ke Masjid Al-Istiqamah di 2 Serangoon North Avenue 2, sekitar 5.20 petang pada 24 September.
Bungkusan itu mengandungi sekeping daging babi dan pegawai polis dari Divisyen Polis Bedok dan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) berjaya mengenal pasti identiti lelaki itu melalui siasatan di kawasan masjid serta imej daripada kamera polis.
Lelaki berkenaan ditangkap pada 25 September dan pada hari yang sama, Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata ia bukan kes terpencil.
Katanya, terdapat beberapa kes serupa membabitkan masjid, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Beliau menegaskan bahawa perbuatan menyasarkan rumah ibadat sama sekali tidak boleh diterima, dan Singapura mempunyai dasar tolak ansur sifar terhadap perbuatan sebegini.
Lelaki itu didakwa di mahkamah pada 27 September atas kesalahan berniat sengaja melukai perasaan kaum di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan 1871.
Jika disabit bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
"Pihak polis memandang serius mengenai sebarang perbuatan yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura.
"Tingkah laku sebegini tidak akan diambil ringan dan pesalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang," kata SPF. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan