Lubang benam besar di Bangkok paksa penduduk dipindahkan
BANGKOK: Sebahagian jalan raya utama di ibu negara Thailand runtuh awal pagi ini, mengakibatkan lubang sedalam puluhan meter di hadapan sebuah hospital besar dan memaksa pemindahan penduduk di kawasan berhampiran.
Kejadian berhampiran Balai Polis dan Hospital Vajira, di sini, menyebabkan terbentuknya lubang berukuran kira-kira 50 meter, sekali gus menumbangkan tiang talian elektrik dan akibatkan paip pecah, menurut tinjauan wartawan AFP di lokasi.
Puluhan anggota polis dan pegawai bandar raya dikerahkan untuk mengawal kawasan berkenaan, manakala sebuah pikap dilihat berada dalam keadaan berbahaya di tepi lubang berkenaan.
Pengarah Jabatan Pencegahan Bencana Bangkok, Suriyachai Rawiwan, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat baru-baru ini dan kebocoran paip.
"Terdapat kebocoran pada paip air iaitu air daripada paip itu menghakis tanah di bawah jalan sehingga berlakunya insiden ini.
"Air yang menghakis tanah telah membawa masuk sebahagian tanah ke tapak stesen bawah tanah yang masih dalam pembinaan, sekali gus menyebabkan runtuhan," katanya kepada AFP sambil menambah setakat ini tiada kematian dilaporkan.
Terowong berkenaan adalah sebahagian projek perkhidmatan rel bawah tanah yang sedang dibina oleh Mass Rapid Transit Authority (MRTA) milik kerajaan, yang memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan punca kejadian.
Suriyachai berkata, balai polis yang terletak berhadapan jalan runtuh itu dipindahkan, manakala pegawai kanan polis, Sayam Boonsom, turut mengesahkan beliau telah mengarahkan pemindahan penghuni blok pangsapuri berhampiran.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, pula memberitahu AFP di lokasi, runtuhan itu berlaku di kawasan stesen apabila tanah 'disedut masuk' ke dalam tapak pembinaan.
Sebuah video yang dimuat naik di media sosial dan disahkan AFP menunjukkan beberapa orang melarikan diri dari kawasan pembinaan di Jalan Samsen ketika jalan berkenaan retak dan runtuh, mengakibatkan lubang besar berisiko dipenuhi air.
Hospital Vajira, sebuah hospital pengajar bagi satu daripada universiti perubatan terkemuka Thailand dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, perkhidmatan pesakit luar ditangguh sementara dan akan disambung semula sebaik keadaan mengizinkan.
Seorang kakitangan hospital berusia 27 tahun, Noppadech Pitpeng yang tinggal di bangunan berhampiran, berkata beliau terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi gegaran pagi tadi.
"Bunyi itu seakan-akan tiang elektrik tumbang dan keseluruhan pangsapuri saya bergegar," katanya sambil dilihat membawa pakaian dalam baldi besar keluar dari bangunan kediamannya. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan