Khamis, 25 September 2025

LUFFY LANUN KEADILAN


LUFFY 

LANUN KEADILAN


Awal September saya telah membaca  berita pelajar dan mahasiswa  dan kaum buruh Indonesia  keluar ke jalan raya  menunjuk perasaan berdemo di Jakarta. Saya  juga membaca berita bangunan dewan Rakyat di Sulawesi dibakar. Saya  juga membaca  berita seorang  anak muda  bermotosikal  mati  di langgar oleh kereta polis di Jakarta. 

Kematian Affan Kurniawan  menyemarak api kemarahan anak muda.  Ribuan pelajar dan kaum buruh keluar berdemo di bandar besar di Indonesia. Dari Acheh hingga ke Bali tunjukan perasaan berlaku.

Bangunan kerajaan sebagai simbol keganasan di bakar. Ramai di tangkap. Beberapa orang gugur. Lebih 20 orang  di lapor hilang.

Apa yang menarik dalam demo-demo ini ialah kemunculan Bendera Tengkorak berwarna hitam. Untuk saya ini adalah bendera lanun.  bendera lanun. Awalnya saya telah ternampak  bendera ini di pasang ketika mahasiswa melancarkan kempen Indonesia Gelap. Kempen ini bermula awal tahun 2025 – siswa dan pelajar menyatakan rasa tidak puas hati dengan dasar Jeneral Prabowo Presiden Indonesia yang baru.

Beberapa hari sesudah  kematian Affan saya telah bersama anak-anak muda warga kota Kuala Lumpur datang bersetia kawan  dengan perjuangan anak muda di Indonesia. Kami  meletakan bunga  mawar dan membaca Al-Fatihah di hadapan Pejabat Duta Indonesia di Jalan Ampang.  Bendera lanun ini  terpampang sama disebalah gambar  arwah Affan.

Saya ternampak gambar ini. Pada ketika itu dari segi semiotik saya tidak memahami apa  tanda dan makna dari bendera lanun ini.  Kenapa bendera lanun ini terpampang saya tidak faham. Untuk saya lanun ialah orang jahat.

Kemudian saya menerima satu surat dari seorang pembaca blog Tukar Tiub. Surat dari  Unknown menulis tentang perjuangan Luffy. Saya juga tidak mengenali siapa Sang Luffy ini.

Saya bertanya - siapa pula Sang Luffy ini?

Lalu saya bertanya kepada Lebai Google. Wah! Barulah saya tahu Si Luffy inilah pemilik bendera yang di panggil  One Piece ini. Bendera hitam dengan gambar tengkorak dengan memakai  topi jerami memiliki sejarah yang gemilang. 

Watak Luffy  ini muncul dari siri anime  - karya lukisan kartun Jepun. Saya yang kini di panggil Old Tai  betul-betul bebal dalam hal ini. Saya adalah generasi Charlie Brown dan Snoopy justeru saya tidak kenal Luffy.

Lalu saya terus membaca tentang Luffy. Wah !  Hebat.

 Watak Topi Jerami Luffy, ialah seorang tokoh protagonis   Jepun. Anak lelaki bernama Luffy ini memiliki kekuatan bersifat getah  kerana makan Buah Syaitan.

Luffy dan bendera lanun ini adalah Simbol Kebebasan. Untuk ramai peminat menghargai Luffy kerana penggambaran dan penjelmaan kebebasannya. Dia dilihat sebagai watak yang melakukan apa yang dia mahu tanpa dikawal oleh keinginan atau jangkaan orang lain.

Luffy juga membawa simbol Berkarisma dan Berinspirasi: Karisma dan keazaman Luffy sering dipuji. Dia memberi inspirasi kepada orang-orang di sekelilingnya untuk mengikuti impian mereka dan berjuang untuk apa yang mereka percayai. 

Luffy memiliki watak budi yang dinamik bijak bercampur gaul dengan orang lain. Luffy memiliki keupayaannya untuk menyatukan orang ramai dan membantu mereka mengatasi cabaran mereka. Tema ini berulang-ulang dalam pengembaraan Luffy.

"Sesiapa sahaja dalam One Piece yang menerima kehendak Luffy telah diberikan kebebasan mereka."

Sesudah membaca ini  barulah saya sedar kenapa Generasi Z  atau  Gen Zee menyamakan diri mereka sama dengan pengembaraan Luffy.

Baru saya faham kenapa pada 28 Ogos 2025  bendera hitam gambar tengkorak berkibar di Jakarta, di Bandung  dan di Sulawesi.

Anak muda ,  siswa,  buruh dan tani keluar menuntut keadilan. Warga kota Jakarta berdemo menuntut agar harga barang di turunkan. Upah  dan tangga gaji di naikkan. Mereka  mahu perasuah  dan politikus korup di dakwa. 

Pak Menteri dan anak bini serta kroni yang hidup lumayan menjadi sasaran. Menteri Ekonomi Indonesia  yang  hidup  kaya raya di ganyang. Seorang lagi Menteri yang ‘ bermulut longkang’ kerana menuduh penunjuk perasaan sebagai ‘bodoh’ di gasak. Rumah mereka di geledah. Untuk selamat mereka melarikan diri. 

Jeneral Prabowo menjadi kelam kabut. Mula mencari dan menuduh bahawa ada anasir luar yang masuk campur  mahu menggugat Indonesia. Sang Jeneral mula menuding jari menuduh musuh politik sedang menabur dana  membawa rakyat ke jalan raya.

Nama penjenayah seperti Rizal Khalid yang kini menyorok di Malaysia disebut sebagai salah seorang yang memberi dana kepada gerakan pelajar untuk menjatuhkan Jeneral Prabowo.

Wal hal agenda sebenar ialah  agihan kekayaan   yang tidak adil. Di Indonesia yang kaya hidup mewah lumayan. Manakala yang miskin hidup papa kedana. Jurang kaya dengan miskin mengaung luas.  

Ini yang menimbulkan perlawanan. Ini namanya  Perjuangan Kelas – kelas miskin tertindas melawan kelas kaya.

Di Indonesia sama seperti di Malaysia ekonomi negara di kawal dan di miliki oleh para Cukong atau Oligarch dari keturunan pendatang.  Ini menjadikan warga Bumiputera bertambah marah.

Tertiba pada 8 Ogos 2025 – bendera  lanun One Piece  berkibar di  Kathmandu Nepal. Anak muda keluar berdemo. Perjuangan mereka menentang rasuah dan salah guna kuasa oleh pemerintah. 

Kerajaan Nepal yang berkuasa mahu menutup Internet  kerana melalui Internet maklumat kejahatan dan salah gua kuasa pemerintah disebar luar. Kerajaan Nepal mahu mendirikan   Lembaga Pengawal Internet sama seperti SKMM di Malaysia.

Gen Zee anak muda bangun melawan. Sama seperti di Jakarta dan di Sulawesi  bangunan parlimen juga di bakar.  Sama seperti yang berlaku di Jakarta rumah  Perdana Menteri di bakar.  Perdana Menteri  lari.  Bendera  hitam Luffy berkibar tinggi.

Dua hari kemudian pada Ahad  10 Ogos 2025  - bendera Tengkorak berkibar di Paris. Kali ini  kaum buruh, siswa dan anak muda Peranchis telah menutup Peranchis. Tunjuk perasaan berlaku di beberapa kota-kota besar di Peranchis.

Warga Peranchis menolak cadangan untuk  menghapuskan subsidi. Kerajaan Presiden Macron mahu memotong hari cuti untuk pekerja. Kerajaan mahu mengurangkan bajet untuk hospital dan klinik. Rakyat marah  mereka membawa bendera Tengkorak Luffy sebagai simbol perjuangan.

Peranchis kini dalam krisis politik dan ekonomi.  Pendapatan negara makin  mengecut. Perang Ukraine membawa  tempias ekonomi.  Dalam masa dua tahun Presiden Macron telah melantik 5 Perdana Menteri. Masalah masih tidak selesai.

Tertiba pada 13 Ogos 2025  saya terbaca  Bendera Tengkorak Luffy berkibar di Manila. Anak muda dan  warga kota Manila telah keluar berdemo. Mereka  menuduh
kerajaan Marcos Junior pengamal rasuah.

Kes yang menjadi isu ialah kes pembetung  dan tebatan melawan banjir. Dana telah dikeluarkan tapi semua kerja tidak berjalan. Duit dan dana kerajaan masuk ke dalam poket Cukong dan para kroni. Rakyat marah  -  beribu-ribu turun ke jalan raya.

Seperti pelayaran kapal Luffy Bendera One Piece pindah dari satu negara ke satu negara. 

Kemudian saya juga terbaca  Bendera Tengkorak berkibar  di Sydney . Ini ketika warga Australia menyokong perjuangan Palestin.  

Lalu saya teringat -  pada 17 Disember 2010 Mohamed Bauazizi  membakar dirinya di kota Tunis. Sosok ini  membantah tindakan Majlis Bandaran yang merampas  kereta sorong sayurannya. Kematian Bauzzizi membuka Musim Bunga Arab.

Bumi Arab bergolak.  Musim Bunga Arab membawa rakyat berdemo melawan kerajaan yang korup. Ribuan turun berdemo  di Mesir. Di Libya , di Syria hingga ke Bahrain di Telok Parsi.

Kali ini tahun 2025 – kematian Affan  Kurniawan – anak muda pembawa  teksi motosikal -  telah membuka  Musim Bunga Asia.

Suara anak muda Gen Zee  di Nusantara terus melawan rasuah.  Terus melawan kerajaan yang zalim. Terus melawan penindasan.  Terus menuntut upah dinaikkan. 

Anak muda Gen Zee juga makin menyampah dengan ‘ orang politik ‘ yang semuanya dianggap, penipu ,  perasuah dan pencuri. Pembakaran rumah menteri di Jakarta dan rumah Perdana Menteri di Kathmandu Nepal adalah bukti bahawa Musim Bunga Asia membawa tema yang sama.

Gen Zee tidak lagi ada keyakinan terhadap kerajaan yang sedia ada. Politikus semua di lihat oleh Gen Zee sebagai  korup. Sistem undi pemilihan untuk melantik wakil rakyat  adalah punca yang  melahirkan korupsi. 

Di belakang semua kerajaan yang wujud hari ini  -  jika di Indonesia dan Malaysia ialah para Cukong. Di Nepal dan di Filipina tidak jauh bezanya dari di Malaysia atau di Indonesia. Cukong atau Oligarch dan kaum pemodal lah  yang mendirikan kerajaan.  

Presiden , Perdana Menteri atau  para Menteri hanya orang suruhan atau orang upahan para Cukong. Politikus ini semuanya  masuk ke dalam poket Cukong dan Kaum Pemodal.  Ini terjadi kerana ketika  berkempen untuk mendapat jawatan  Si Anu dan Si Anu telah di taja dengan dolar dan ringgit oleh para Cukong.

Hakikatnya Gen Zee melihat  sistem inilah yang sedang di lawan oleh Luffy Bertopi Jerami. Pelayaran Luffy adalah melawan semua ini.  

Maka kita tidak hairan kenapa Bendera Tengkorak Lanun One Piece mula berkibar  dari Jakarta  ke Kathmandu, ke Paris, Ke Sydney dan ke Manila.. Ini adalah  simbol perjuangan Gen Zee – perjuangan anak muda yang sedang  melawan Old Tai yang korup dan zalim. Amin. TT


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/756124

1 ulasan:

  1. membaca komik budak getah sambil mendengar alunan band street rock a.c.a.b ... zaman yang indah...

    kah kah kah

    BalasPadam