Badrul Hisham diberkas polis malam tadi, kata peguam
Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, ditahan polis malam tadi terkait dakwaan membuat kenyataan menghasut dan memfitnah semasa berucapan dalam majlis politik di Bagan Serai, Perak.
Peguamnya, Rafique Rashid Ali, dalam kenyataan ringkas pagi ini memberitahu Badrul Hisam ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Tangkapan itu dibuat untuk siasatan mengikut Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Permohonan tahanan reman dijangka diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 10 pagi hari ini," katanya.
Polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan tersebut.
Berdasarkan pautan TikTok yang dikongsi oleh Rafique, anak guamnya itu disiasat berhubung ucapan semasa ceramah pada 29 Ogos lalu.
Program berkenaan dinamakan sebagai Ceramah Perdana: Selamatkan Malaysia.
Dalam petikan video itu, Badrul Hisam kedengaran bercakap mengenai Raja-Raja Melayu dan dakwaan cubaan pihak tertentu untuk membuat orang Melayu hilang rasa hormat terhadap istana.
Sementara itu, JSJ Bukit Aman dalam kenyataan hari ini mengesahkan bahawa polis sedang menyiasat ahli politik terbabit berhubung ucapannya.
Pengarahnya, M Kumar, berkata siasatan dimulakan selepas polis menemui klip video yang disiarkan pada akaun TikTok menunjukkan Badrul Hisham membuat kenyataan berbaur hasutan dan tidak berasas terhadap institusi diraja.
“Siasatan berhubung video tular ini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya.
Kumar berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan yang menetapkan kesalahan berhubung tindakan menghasut, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperkatakan kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang ramai, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian).

Tiada ulasan:
Catat Ulasan